CSR JAS Perak santuni anak yatim sempena Hari Bumi

- Advertisement -

TAPAH: Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamrudin meluangkan masa menyantuni anak yatim dalam program Santuni Asnaf CSR Ramadan di Mydin RTC Gopeng, di sini kelmarin.

Program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak ini diadakan sebagai menghayati Ramadan yang diadakan juga bersempena dengan Sambutan Hari Bumi Sedunia 2021.

Dalam ucapannya beliau berkata, anak yatim merupakan golongan mesti dibela berdasarkan nas al Quran dan Hadis, bahkan, Baginda Nabi S.A.W menyuruh umat Islam supaya menyantuni mereka.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam sejarah, beberapa tokoh ilmuan Islam yang telah mencorak dunia keilmuan Islam adalah dari kalangan anak-anak yatim sejak kecil antaranya Imam Syafie RH.

Juga Imam Ahmad Hanbal RH, Imam al Bukhari RH, Imam Ibnu Hajar al Asqolani RH, Imam al Ghazali RH dan beberapa lagi.

Beliau turut menekankan aspek kebajikan khususnya di bulan Ramadan dan berlumba-lumba mengejar ganjaran di sisi Allah S.W.T selain sebagai sebahagian tanggungjawab seorang Muslim.

Program melibatkan seramai 31 anak yatim dari Persatuan Anak-anak Yatim Soleha, Tanjung Tualang dengan kerjasama rakan strategiknya ini telah berjaya mengumpulkan lebih dari RM41,00 bagi menjalankan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kali ini.

Program CSR ini juga merupakan pertama yang dijalankan pada bulan Ramadan oleh JAS Perak sebelum diperluas ke dua pusat penjagaan warga emas di Lahat dan Gunung Rapat serta pusat tahfiz di Tapah.

Anak-anak yatim diberi peluang memilih baju raya pilihan masing-masing beserta aksesori lain seperti tudung, kasut, sampin, songkok dan kerongsang dengan peruntukan sebanyak RM250 seorang termasuk juadah berbuka puasa.

“Semoga program sebegini diikuti oleh jabatan, agensi dan mana-mana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya anak-anak yatim dapat menyambut Ramadan dan Syawal seperti kanak-kanak yang lain,” ujar Akmal. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -