PAS-Umno Tapah hayati erti Merdeka

- Advertisement -

TAPAH: Ahli-ahli Majlis Daerah Tapah mewakili PAS telah menganjurkan program sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-63 dengan penuh kesyukuran di Surau Assyakirin Jalan Damai, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Majlis dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Surau Assyakirin ini dimulai dengan bacaan Yaasiin, tahlil, doa keselamatan untuk agama dan negara, kuliah agama dan diakhiri dengan jamuan makan malam kemerdekaan.

Turut hadir bagi kemeriahan program ini ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Tapah, Ahmad Othman Maseri dan Ketua Umno Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin merangkap Ahli Majlis bersama Ahli Jawatankuasa masing-masing.

Turut bersama adalah Penghulu Tapah, Rozain Ramli dan seluruh Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Batang Padang serta penduduk dan ahli kariah setempat.

Ahli Majlis Daerah Tapah, Jamaludin Ani yang juga Penolong Setiusaha PAS Tapah berkata, tujuan program ini bagi memberi kesedaran untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dihukumkan wajib ke atas Mukmin.

“Walaupun kita telah bebas daripada cengkaman penjajahan 63 tahun yang lalu, namun pembinaan jati diri mantap dengan pengisian pentarbiyahan dari acuan Islam sahaja akan menjadikan kita sanggup mempertahankan agama dan negara daripada dicerobohi dan dijajah kembali pada bila-bila masa,” ujarnya.

Sementara itu Othman berkata, rakyat telah mula sedar dan mesti mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional antara PAS, Umno dan BERSATU dari diganggu-gugat perpaduannya.

Jelas beliau, kerajaan hari ini amat memahami penderitaan dan kesusahan rakyat sesuai dengan tema kemerdekaan pada tahun ini ‘Malaysia Prihatin’.

Program diserikan lagi dengan persembahan montaj kemerdekaan dari Lajnah ICT PAS Tapah untuk mengimbas kembali detik-detik kemerdekaan pada tahun 1957 yang lalu.

Majlis juga diselang seli dengan pertunjukan seni silat mempertahankan diri dan penyampaian hadiah pertandingan mewarna, melukis, khat, tulisan jawi dan acara bowling buah kelapa. – HARAKAHDAILY 2/8/2020

- Advertisement -