Elak hadir di tempat sesak, wabak dalam komuniti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mencatat kes harian Covid-19 paling tinggi dalam sejarah di negeri itu sejak lebih setahun pandemik itu menular, iaitu 332 kes hari ini.

Dengan peningkatan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Kelantan kini mencecah 8,448 kes.

- Advertisement -

Kelantan juga menduduki tempat ketiga kes Covid-19 paling tinggi di Semenanjung selepas Selangor 431 kes dan Johor 387 kes.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin mengingatkan rakyat di negeri itu tidak hadir di tempat yang sesak.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat pelbagai peringkat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Covid-19 telah berada dalam komuniti, jangan hadir tempat yang sesak dan patuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama.

Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” catat di Facebooknya hari ini.

Kelantan sebelum ini membatalkan operasi bazar Ramadan berikutan penularan pandemik yang semakin meningkat kebelakangan ini di negeri tersebut.

Malah kerajaan negeri juga mengumumkan bayaran sagu hati berjumlah RM1.5 juta membabitkan 2,500 peniaga bazar Ramadan yang mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, PBT juga memulangkan semula bayaran deposit kepada semua peniaga yang mendaftar berniaga di bazar Ramadan di seluruh Kelantan.

Malah banyak pihak menyifatkan keputusan kerajaan negeri membatalkan bazar Ramadan sebagai tepat biarpun dikecam sesetengah pihak sebelum ini. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -