Pedoman Al-Quran: Bersikap adil dan mengelakkan dendam

- Advertisement -

ALLAH SWT sentiasa menyuruh hamba-Nya bersikap adil walaupun kepada mereka yang pernah mengkhianati. Sikap sebegini merupakan pegangan orang-orang yang beriman dalam memperolehi takwa. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰ⁠مِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Al-Maidah: 8)

- Advertisement -

Islam mengajar ketinggian akhlak dengan mengutamakan kemaafan dan keadilan dalam semua perkara. Walaupun pernah dilukai dan difitnah dengan pelbagai tohmahan, namun jika seseorang itu sentiasa bersangka baik dan tidak berdendam, keadilan mudah ditegakkan dalam sesebuah masyarakat.

Antara bentuk keadilan yang ditekankan oleh Al-Quran ialah keadilan sosial dalam pembahagian harta kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang luas antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya dan mengangkat taraf hidup orang miskin. Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang yang kurang bernasib baik dan orang kurang upaya dengan pelbagai hak keadilan.

Oleh yang demikian, seseorang pemimpin yang berlaku adil terhadap rakyatnya ketika diberi peluang mentadbir akan dicintai Allah SWT. Sementara manusia yang dibenci Allah SWT adalah pemimpin yang zalim. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِساً إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَاباً إِمَامٌ جَائِرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai Allah SWT dan paling dekat tempat duduknya pada hari kiamat adalah pemimpin yang adil, sedangkan manusia paling dibenci oleh Allah dan paling jauh tempat duduknya adalah pemimpin yang zalim.” (Riwayat Tirmidzi)

Kesejahteraan dan keharmonian dalam negara akan terpandu dengan adanya para pemimpin yang mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat. Natijahnya, muafakat antara pemimpin dan rakyat semakin terserlah dan perpaduan utuh dapat dibangunkan dengan baik. Inilah teras kepada keamanan negara apabila penyatuan ummah dapat dijadikan agenda keutamaan. Segala pertembungan pandangan, permusuhan lama dan pergolakan dalam politik kepartian yang tidak berkesudahan jika diterapi dengan sifat-sifat mahmudah, maka suasana taáwun dan tafãhum akan sentiasa mekar dalam masyarakat.

Apabila sesebuah negara terpimpin di bawah naungan keadilan, maka rakyatnya akan bersatu hati, khazanah negara diberkati, tiada amanah yang dikhianati dan campur tangan kuasa asing dapat disekati. Inilah ciri-ciri negara aman damai yang diredhai Allah SWT sebagai Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
06 Ramadhan 1442/18 April 2021 – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -