Timbalan menteri ketuai kempen daftar vaksinasi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tumpat bersama Jabatan Penerangan melaksanakan kempen daftar Vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah di Kampung Baru Nelayan, Mukim Jubakar Pantai, semalam.

Kempen selama dua jam itu melibatkan 50 pegawai dari pelbagai agensi dan pemimpin masyarakat setempat.

Kempen itu diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dato’ Che Abdullah Mat Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

- Advertisement -

Che Abdullah berkata, kempen yang berakhir pada tengah hari itu sejajar dengan seruan kerajaan supaya rakyat mendaftar program vaksinasi.

Katanya, seramai 150 orang berjaya didaftarkan melalui borang yang diberikan.

“Cadangan untuk menganjurkan kempen ini dicetus dari pusat dan pemimpin masyarakat tempatan. Ia merupakan antara usaha yang dilakukan untuk membantu penduduk tempatan mendaftar.

“Dengan usaha ini kami berharap Kelantan tidak lagi menjadi antara negeri yang rendah jumlah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Nasional (PICK),” katanya.

Kempen ini turut disertai Ameerah Tumpat, Persatuan Siswazah Tumpat, Pemuda PAS Tumpat dan Muslimat PAS Kampung Baru Nelayan.

Che Abdullah juga berkata, kesedaran dan penerangan untuk mendaftar vaksin Covid-19 perlu disampaikan kepada rakyat secara berterusan dalam usaha membendung penularan pandemik tersebut.

“Inisiatif sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan pematuhan SOP yang ditetapkan,” katanya.

Penduduk di Parlimen Tumpat juga boleh membuat pendaftaran vaksin Covid-19 di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tumpat dan semua Pusat Khidmat Dun atau di klinik kesihatan berdekatan dan aplikasi MySejahtera. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -