Terima kritikan rakyat dengan hati terbuka

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berpendapat, kritikan yang datang dari rakyat biasa perlu diberi perhatian dengan hati terbuka oleh pemimpin kerajaan.

Kata beliau, pihaknya sentiasa berusaha mencari jalan terbaik namun, sudah tentu tidak dapat menyelesaikan semua itu dengan segera kerana kekangan sumber dan sebagainya.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada berusaha sedaya upaya menterjemah erti kerajaan prihatin dengan sebaiknya.

- Advertisement -

“Dari Pakej Prihatin, Kita Prihatin, Penjana, Permai dan Pemerkasa. Senarai yang menerima manfaat dipantau Pelaksana (LAKSANA),” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, bermula dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan PICK, ada sinar mengawal penularan jika imuniti kelompok dicapai.

“Dengan mematuhi, SOP (Prosedur Operasi Standard), Perintah Kewalan Pergerakan (PKP), PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dipatuhi,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia antara negara yang dianggap berjaya mengawal pengucupan ekonomi yang melanda seluruh dunia.

“Dari penguncupan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tahun 2020 sebanyak 5.6 peratus tahun lalu. United Kingdom (UK) 9.9 peratus, Kesatuan Eropah (EU) 6.2 peratus dan jiran kita, Filipina 9.5 peratus.

“Untuk tahun 2021 ini unjuran ekonomi Malaysia diramal pertumbuhan 6 peratus oleh Bank Dunia, 6.5 peratus Dana Matawang Antarabangsa dan 6 hingga 7.5 peratus oleh Bank Negara Malaysia.

“Malaysia 0.4 peratus kes kematian oleh Covid-19 antara paling rendah di dunia dan kadar kesembuhan di kalangan yang dijangkiti Covid-19 di negara kita antara tertinggi di dunia.

“Manakala, kadar pengangguran yang mencapai puncak sekitar 5.4 peratus hujung tahun lalu mula pulih beransur-ansur sekitar 4.9 hingga 4.8 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Dato’ Amzad bahawa Malaysia dimasukkan di kalangan negara yang menguruskan Covid-19 dari segi ekonomi, keselamatan dan kesihatan rakyat dengan baik dan seimbang.

“Itu juga kesimpulan yang saya terima dari beberapa rakan yang berpengkalan di luar negara, yang memaklumkan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan PN yang memerintah negara hari ini cuba untuk tidak mengheret rakyat sehingga terpaksa mengalami akibat buruk dari pergolakan politik supaya fokus diberikan sepenuhnya usaha menguruskan negeri.

“Kerajaan PN perlu fokus untuk membantu rakyat, menyokong perniagaan yang menyediakan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi negara.

“Penyatuan Ummah adalah harapan untuk membina kestabilan. Sebab tanpa kestabilan negara dalam keadaan terumbang ambing.

“Ini menjejaskan usaha menarik pelaburan, memperkasakan perlaksanaan dasar yang penting untuk pembinaan negara yang aman, maju dan sejahtera, untuk seluruh rakyat yang berbilang bangsa dan agama,” tegasnya.

Tambah beliau, PAS sentiasa komited dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan PN dan mahu mengukuhkan Penyatuan Ummah. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -