Pengedar diminta tidak manipulasi harga makanan

- Advertisement -

PASIR MAS: Pengedar dan semua pihak yang terlibat dengan rantaian makanan diingatkan tidak memanipulasikan dan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan khususnya menjelang musim perayaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi bagaimanapun berkata, bekalan dan pengeluaran makanan dalam negara mencukupi.

“Kita tidak nafikan adanya faktor-faktor yang menyebabkan kos pengeluaran bahan makanan meningkat.

- Advertisement -

“Namun kita mengharapkan dengan pengeluaran yang berterusan, tidak ada pihak yang cuba memanipulasikan kenaikan harga barangan secara tidak berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Golden Rabbitry Farm di Kampung Bangol Chicha, di sini hari ini.

Katanya, MAFI juga sentiasa memastikan bekalan makanan untuk keperluan rakyat sempena Ramadan sekarang mencukupi.

Malah, beliau menganggarkan bekalan daging bagi musim perayaan Aidilfitri sebanyak 36,000 metrik tan di mana ia termasuk sumber daripada pengeluaran tempatan dan import.

“Manakala keperluan daging untuk musim perayaan dianggarkan sebanyak 10,000 metrik tan,” katanya.

Oleh itu katanya, pengguna tidak perlu khuatir kerana bekalan daging untuk musim perayaan yang akan menjelang tidak lama lagi adalah mencukupi. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -