Penjawat awam sedia berwakaf setiap bulan

- Advertisement -

KANGAR: Kepulauan Sicily semasa di bawah pemerintahan Dinasti Aghlabiyah, Ziyadatullah satu masa dahulu mempunyai 300 sekolah yang dibina hasil dana wakaf.

Ia secara jelas menggambarkan institusi wakaf berpotensi dibangunkan demi keperluan ummah pada akan datang.

- Advertisement -

Seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi Ustazah Nadia Hashim berkata, melalui institusi tersebut umat Islam berpotensi besar membina pembangunan kontemporari.

Ustazah Nadia Hashim

Katanya sejarah membuktikan pemerintahan Islam pada zaman dahulu berjaya memanfaatkan wakaf sehingga mampu membiayai pelajaran, pendidikan, kesihatan dan kebajikan masyarakat.

“Malah aplikasi wakaf tunai antara yang paling mudah untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kelmarin Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji menerusi rancangan TV Al-Hijrah.

Ramdan dijadikan Bulan Wakaf Kebangsaan bagi menggalakkan masyarakat memberi tumpuan khas terhadap sistem tersebut.

Nadia juga berkata, pengurusan harta wakaf perlu cekap dan amanah di samping memerlukan perancangan teliti memacu transformasi institusi wakaf sebagai instrumen kewangan yang maju dan berdaya saing.

Tambah beliau juga tiga perempat keluasan tanah Arab di zaman Uthmaniyah merupakan tanah wakaf.

Seorang guru Ustazah Asma Abdullah berkata, amalan berwakaf mempunyai banyak kelebihan kepada orang yang berwakaf dan penerima wakaf.

Oleh itu katanya, setiap penjawat awam sepatutnya merebut peluang berwakaf kerana mereka mempunyai pendapatan tetap.

“Jika mereka boleh merancang untuk tujuan pembelian barangan yang dihajati, sepatutnya mereka juga mempunyai perancangan kewangan untuk saham akhirat,” katanya.

Noor Azila

Seorang penjawat awam Noor Azila Abdul Razak, 28 pula mencadangkan sistem potongan gaji secara automatik bagi penjawat awam kerana ia lebih memudahkan.

“Melalui kaedah itu kita tidak lagi lupa untuk berwakaf secara tetap setiap bulan kerana potongan dibuat secara automatik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -