Suspek pukul bodyguard, tindakan PDRM dipuji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas menangkap suspek kejadian dua pengawal peribadi yang dipukul kerana berpuasa.

Suspek yang merupakan majikan kepada mangsa dipercayai memukul mangsa dalam satu kejadian yang berlaku Selasa lepas.

“Ia juga satu serangan kepada institusi agama yang mana di bawah bidang kuasa Sultan dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

- Advertisement -

“Seterusnya, ia juga seolah-olah satu penghinaan kepada hak umat Islam yang dijamin dalam perlembagaan dan juga diletakkan di bawah kuasa Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini berhubung isu itu yang sedang hangat diperkatakan sejak semalam.

“Mangsa melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa pemukul telah menghina dan mempersendakan Allah SWT, menyerang orang yang beribadat menjalani tuntutan agama Islam dengan mulut tangan dan senjata serta mengugut dan memaksa menggunakan senjata api,” tambahnya.

Kamaruzaman menyifatkan ini juga merupakan satu serangan kepada umat Islam kerana ketika mangsa dipukul hanya kerana berpuasa bukan hal lain melibatkan disiplin dan sebagainya.

Beliau turut mempersoalkan motif sebenar majikan tersebut berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berharap siasatan rapi dapat dilaksanakan dan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang didapati terbukti bersalah.

“Sekiranya suspek didapati bersalah, ia adalah sebagai pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -