Bazar Ramadan boleh ditutup gagal patuh SOP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar bimbang operasi bazar Ramadan di Kedah yang dikatakan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh mencetuskan kluster baharu Covid-19.

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan sedemikian itu sekiranya berterusan dibimbangi boleh memungkinkan operasi perniagaan Bazar Ramadan ditutup.

Katanya berdasar laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapati kebanyakan operasi Bazar Ramadan tidak patuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

- Advertisement -

“Saya minta para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan supaya menjaga SOP. Laporan diterima daripada PBT operasi Bazar Ramadan kebanyakannya agak mengecewakan,” katanya pada lontaran di laman sosialnya hari ini.

Oleh itu beliau berharap semua pihak memberi kerjasama untuk mengelak perkara yang tidak diingini itu berlaku.

Sedangkan kata beliau kes Covid-19 di Kedah sekarang sudah terkawal.

“Sekiranya timbul kluster baharu disebabkan kecuaian menjaga SOP, bazar Ramadan akan diarahkan tutup.

“Perkara itu tentulah mendatangkan implikasi kepada mereka yang mencari sumber rezeki sepanjang Ramadan ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -