Duhai saudaraku, ‘Ikan di laut asam di darat’ (Akhir)

- Advertisement -

MENURUT Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu catatannya, terdapat dalam kalangan manusia itu orang-orang yang mengingkari wujudnya Tuhan kerana mereka tidak dapat melihat Allah dengan pancaindera.

Mereka menjadikan pancaindera sebagai alasan dan berasaskan kebendaan semata-mata dengan pendapat yang singkat, tanpa menyedari sejahil manusia yang bersifat fitrah dan melihat sekelilingnya pun menyedari wujudnya Tuhan.

Mereka menyedari akal itu ada dengan tanda-tanda yang lahir daripadanya, percaya kepada tenaga elektrik dengan hanya melihat lampu yang bernyala, sifat semula jadinya yang percaya kepada Tuhan dengan memandang alam sekelilingnya sahaja.

- Advertisement -

Jika dirujuk keseluruhan lirik lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat’ versi A. Halim dan Norlela Nasir ini; ia merupakan satu gesaan, teguran dan tawaran dan jika dirangkumkan, membawa satu maksud yang mahukan mereka yang mendengarnya memerdekakan pemikiran dari belenggu limitasi indera.

Menurut penulis, frasa yang biasa digunakan ialah `Mind Over Matter’, jika kuasa minda terlalu dididik untuk terkepung dengan keupayaan indera yang lima, maka manusia tidak akan mencapai tingkat keupayaan kemajuan yang melampaui keupayaan manusia-manusia yang terbatas.

Manusia yang sentiasa beriman dengan frasa ‘seeing is believing’ ialah golongan manusia kolot yang terperangkap di dalam zaman jumud yang anti kepada kemajuan yang melampaui kemampuan manusia.

`Bunga Melati Di Dalam Taman, Daun Yang Hijau Banyak Yang Gugur’

Rangkap ini memasuki fasa yang menyentuh mengenai trajektori kiblat pemikiran dan matlamat yang selama ini cuba ditujui tidak seharusnya menghalalkan cara pembersihan minda tersebut cuba dilakukan. Kerap kali, inilah yang berlaku. Melati tidak akan putih jika dedaunnya tidak hijau sempurna.

Warnanya putih dengan kelopak ringkas. Melati sentiasa digunakan sebagai lambang kesederhanaan dan kesucian. Ia jalan tengah antara kelopak dan warna anggerik yang lebih kompleks dan warna serta kelompak bunga kemboja yang terlalu ringkas.

Begitu jua dengan usaha membebaskan umat Melayu dari belenggu kebodohan pemikiran. Ia satu usaha yang dijalankan atas tujuan membersihkan fikiran orang Melayu dari semua bentuk halangan yang menghadkan keupayaan berfikir mereka yang selama ini telah dilemahkan.

Menurut penulis, gerakan membersihkan cara berfikir orang Melayu ini dibuat supaya mereka kembali sepertimana mana mereka berupaya menguasai Asia Tenggara kerana suatu ketika dahulu orang Melayu merupakan umat yang sentiasa bersederhana di dalam mengambil apa jua pendapat dan pegangan.

Mereka tidak terlalu cenderung kepada ekstremisme dan tidak terlalu pasif bertindak. Kerap kali tindakan yang dilakukan mereka bukanlah tindakan spontan tetapi merupakan tindakbalas terancang yang sentiasa memastikan setiap apa yang cuba dicapai itu dapat disempurnakan tanpa melibatkan kegagalan yang merosakkan.

Dahulu, mereka sentiasa tegas di dalam tindakan. Lembut mereka bertempat. Tetapi di dalam mempertahankan kesucian agama dan kedudukan bangsa mereka di tanah anugerah dan yang diamanahkan Allah ke atas mereka, mereka tidak takut untuk menggadaikan kudrat, harta dan nyawa untuknya.

Ia berbeza dengan Melayu pasca merdeka. Jasad mereka merdeka tetapi pemikiran mereka terjajah sehingga akar minda yang paling dalam. Mereka tidak hanya terjajah dengan dogma serta gaya pemikiran bangsa-bangsa lain. Malah kesalahan dogma dan doktrin yang pernah dijalankan bangsa-bangsa lain.

Kerana itulah di dalam rangkap ini, telah disebutkan mengenai halatuju usaha bagi membersihkan serta mempoleskan kembali sistem serta keupayaan pemikiran Muslim di Malaysia. Kiblatnya ialah pembersihan serta pengukuhan keupayaan akal supaya mereka dapat bersaing dan mendahului. Halatujunya ialah supaya Muslim di Malaysia bebas dari kekangan serta rasa rendah diri dan takut untuk melakukan perubahan kepada jalan takdir hidup mereka yang telah dirancangkan musuh mereka ke atas mereka sejak sekian lama dulu.

Tetapi di dalam menjalankan usaha bagi melakukan pembersihan serta peningkatan keupayaan akal Muslim ini, jalan-jalan usaha yang digunakan nanti tidak boleh sama sekali tidak selari dengan syarak. Mereka yang terlalu memberi fokus kepada indahnya bunga Melati semasa berkembang, jangan mereka terlupa bahawa yang memberikan keupayaan serta keindahan kepada bunga itu ialah dedaunannya yang menghijau.

Daun-daun pohon itulah yang membajai keupayaan bunga tersebut untuk berkembang dengan indah. Tanpa daun-daun pohon tersebut yang sihat dan hijau, mana mungkin bunga Melati atau sasaran usaha penyucian ini dapat disuburkan.

Duhai saudaraku…

`Kalau turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur.’

Makrifat iman yang dimaksudkan penggubah lirik secara jelas merujuk kepada Muslim yang benar-benar memahami bahawa luasnya ilmu mengenai sesuatu perkara itu jauh sempadannya. Ia boleh digali dan dikaji selagi al-Quran tidak menegahnya melakukan perbuatan tersebut.

Mereka mengetahui bahawa sifat fizik bahan boleh diubah jika Allah mengkehendakinya. Penuh di dalam al-Quran contoh-contoh perkara yang boleh dilakukan oleh manusia dengan kekuatan iman yang mencapai tingkat yang tinggi.

Generasi para Nabi, Sahabat dan Tabi’in telah membuktikan banyak perkara yang secara normalnya tidak dapat dilakukan, ia dapat berlaku melalui keimanan mereka yang tinggi. Mereka yakin jika Allah mengkehendaki sesuatu itu berlaku, tiada apa perkara yang boleh menghalangnya daripada berlaku.

Sebagaimana yang diyakini oleh penggubah lirik tersebut, keadaan minyak dan air boleh bercampur mampu dicapai. Bukan dengan menggunakan bantuan `surfactant’ (ejen permukaan aktif) tetapi dengan memahami apa sebenarnya yang menghalang keduanya bercampur dan mengenai aspek fizik dan kimia bahan-bahan tersebut. Inilah yang dinyatakannya dengan frasa ‘kalau turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur.’

Malang sekali setelah berdekad-dekad lagu ini dinyanyikan, kita tetap mengambil aspek hiburan darinya tanpa memberikan perhatian serius kepada apa yang cuba disampaikan. Penulis juga menegaskan berpuluh tahun dahulu, penggubah lirik lagu ini menyatakan bahawa minyak dan air dapat bercampur jika kita benar-benar faham akan hakikat sifat fizik bahan tersebut serta bagaimana sifat-sifat fizik tersebut tidak tetap dan boleh diubah jika kita benar-benar faham dengan apa yang kita lakukan.

Justeru, pada ‘sesuatu’ yang menjadi penghalang manusia untuk saling menyatu itu hakikatnya ia boleh diubah atau dikompromi jika manusia meletakkan iman di hadapan, adapun akal dan nafsu di belakang.

Kata Tuan Guru:

PAS pernah bertahaluf dengan Almarhum Dato’ Onn Jaafar ketika almarhum merupakan pimpinan Parti Negara.

Sekarang Parti Negara sudah mati, namun PAS tidak mati malahan bangkit semula sebanyak dua kali untuk menawan Terengganu.

PAS pernah bertahaluf bersama Parti Semangat 46 dan menawan Kelantan hingga ke hari ini. Akan tetapi hari ini Parti Semangat 46 sudah mati kerana pemimpinnya juga telah melompat keluar dan ia bukan salah PAS.

PAS bertahaluf dengan PKR, DAP dan rakan-rakannya tanpa menggadai prinsip Islam yang dipegang erat sehinggalah PAS dipecat kerana teguh berprinsip dan dinamik dalam berpolitik. 

Mereka menubuhkan PAN yang dipimpin oleh bekas pemimpin PAS yang melompat keluar kerana mahu menang dengan cepat. Sekarang mereka sudah bercakaran antara satu sama lain, berebut ahli sesama mereka dan itu bukan salah PAS.

Pentas PAS sentiasa terbuka untuk semua, termasuk mereka yang dipecat daripada parti masing-masing. Antaranya; Dr. Mahathir 1969, Tengku Razaleigh 1990 dan Anwar Ibrahim 1998.

PAS itu ibarat akar; terbenam di dalam tanah, diinjak-injak orang, tetap ia kuat dan menguatkan. PAS telah membuktikan bahawa mereka berjuang atas nama islam, justeru apa sahaja pertolongan atau gabungan yang mampu memberi keuntungan kepada Islam, maka PAS sedia berkerjasama.

Selama 70 tahun lamanya PAS berjuang di arena politik tanah air; diguna, dihina, dikata, dicaci dan ditunjal-tunjal mukanya di depan mata, PAS tebalkan muka dan senyum. Kerana bukanlah orang yang menang itu adalah orang yang hebat melawan tetapi orang yang sebenar-benarnya menang adalah orang yang mampu bertahan!

Tuan Guru kata, “Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin. Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan.” 

Kadang-kadang kita mungkin terpaksa memilih atau membuat satu keputusan yang mungkin kelihatan kejam dengan tujuan untuk mendidik dan mengajar, agar dengan cara itu dapat menghancurkan batu keras yang sudah lama tertanam di atas kepala.

Duhai saudaraku, 

Dalam satu program ‘Bicara Negarawan’ siri kedua bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ pada 19 Januari 2021, moderator bertanya antara dua gabungan disertai PAS sekarang, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, mana satu pilihan PAS?

“Kita memestikan dua-dua gabungan ini (Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional) bersatu, kerana pada kajian kita tidak ada parti yang boleh menang untuk memerintah sendiri pilihan raya akan datang, mesti bergabung dengan parti lain.”

Maka, mari kita teruskan perjalanan ini saudaraku. Masa lalu usah dikenang, walau di depan juga tidak pasti. Usahakan yang terbaik hari ini kerana musuh sentiasa menunggu dan memerhati untuk menerkam andai perpisahan yang terjadi

‘Tidak ada rasa bersalah yang dapat mengubah masa lalu dan tidak ada kekhuwatiran yang dapat mengubah masa depan’ – Umar Al Khattab

‘Ikan Di Laut Asam Di Darat

Dalam Periuk Bikin Mufakat’

Ayuh, teruskan!

KHAULAH AL AZWAR

Rujukan:

‘Ikan Di Laut Asam Di Darat’ tulisan Muhammad Imran Haaz
https://satuhala.blogspot.com/2012/11/ikan-di-laut-asam-di-darat-decoded.html?m=0 – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -