Duhai saudaraku, ‘Ikan di laut, asam di darat’… (1)

- Advertisement -

PERTAMA kali mendengar versi penuh lagu ini dengan kefahaman yang jelas dan terang, ia telah membangunkan harap dan cita meski hakikat tersurat amat menikam jiwa dan membuat jasad makan tak rasa kenyangnya, tidur terasa umpama mimpi dalam mimpi.

Duhai saudaraku, ‘ikan di laut asam di darat, dalam periuk bikin mufakat’…

Kalau menyanyi perlahan-lahan,
Di bawa angin terdengar jauh,
Kalau menyanyi perlahan-lahan,
Di bawa angin terdengar jauh,
Kalau hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh,
Kalau hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh,
Bunga melati di dalam taman,
Daun yang hijau banyak yang gugur,
Bunga melati di dalam taman,
Daun yang hijau banyak yang gugur,
Kalau turut makrifat iman,
Minyak dan air mungkin bercantum,
Kalau turut makrifat iman,
Tidakkan air mungkin bercantum,
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai,
Ikan di laut asam di darat,
Dalam periuk bikin mufakat,
Dalam periuk bikin mufakat

- Advertisement -

Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah wajar diberikan kepada penulis asal, Imran Haaz pemilik laman sesawang satu hala kerana cemerlang mengupas sisi ilmiah lirik lagu`Ikan Di Laut Asam Di Darat’, membantu membongkar rahsia hati penulis lirik lagu yang mungkin sudah terlalu lama membungkam dalam hatinya.

“Jika dilayan sebagai hiburan, hati terhibur. Jika dilayan pada kata yang indah, hati teruja. Dan jika diberikan perhatian kepada apa yang disampaikan, ia merupakan satu teguran kepada bentuk kemandulan pemikiran Melayu Muslim yang tertipu dengan keindahan sementara yang dikejar.”

Penulis berkongsi, ketika mendengar bait-bait lagu ini berulangkali, ia menjentik pemikiran beliau mengenai sesuatu. Boleh jadi terdapat sesuatu yang cuba disampaikan penulis lirik asal lagu tersebut. 

Di dalam era penjajahan dan Melayu Muslim diselubungi pemikiran kolot, seakan terdapat satu keperluan bagi baki orang Melayu yang masih mempunyai sisa rasional di dalam pemikiran mereka untuk membuat teguran supaya bangsa ini segera bangkit.

Menurut beliau, fenomena teguran kepada kolotnya pemikiran Melayu pada ketika itu bukan hanya menjadi sebutan golongan yang terdorong dengan politik dan kuasa, malah ianya turut didorong oleh gerakan yang dijalankan guru-guru agama yang mengasaskan pondok-pondok pengajian di serata pelosok Nusantara

Antara yang terkenal lantang menegur masalah kolotnya pemikiran orang-orang Melayu ketika itu ialah Tok Kenali, yang terkenal kerana ketokohannya yang hebat. Pemikiran Tok Kenali mendahului zaman, tetapi malang sekali cerita dari mulut ke mulut yang gemar disampaikan mengenai beliau sentiasa disalutgulakan dengan elemen mistik bagi membangkitkan rasa kagum kepada orang-orang Melayu terhadapnya.

Orang-orang Melayu tidak akan memandang kepada awan sebagai sebuah kehebatan ciptaan Allah melainkan sekiranya terdapat kalimah namaNya terpahat di situ. Orang Melayu tidak akan memandang ibadah solat sebagai satu rutin aturan hidup seorang manusia yang sangat hebat melainkan apabila sejadah yang digunakan ‘bangun duduk dengan sendirinya’. Ini satu penyakit. 

Itulah juga yang menjadi masalah rasukan yang menghantui pemikiran Melayu setelah mereka lama terjajah. Melayu asalnya tidak sedemikian rupa pemikiran mereka sebelum mereka berpecah lalu terjajah oleh Portugis.

Pemikiran mereka hebat dan mendahului zaman. Tetapi semua itu berubah apabila mereka terlalu lama dijajah. Tok Kenali tidak senang dengan masalah kolotnya pemikiran orang-orang Melayu ini. Dari masa ke semasa beliau menegur dengan lantang mengenai masalah pemikiran orang-orang Melayu.  

Tercatat di dalam kompilasi buku Tamadun Melayu Jilid 5, mengisahkan mengenai gaya pemikiran Tok Kenali. Sosok ini dicemari kisahnya dengan elemen mistik dan mengarut oleh tradisi lisan, tetapi di dalam buku ini, mengisahkan gaya berfikir seorang pejuang bangsa yang tahu berpijak di bumi yang nyata.

“Satu pernyataan bertulis yang ditulis oleh Tok Kenali yang masih kekal menjadi pemangkin kepada cara saya berfikir sehingga ke hari ini ialah seperti berikut:

“Maka seyogialah bagi tiap-tiap yang berakal itu bahawa mengedarkan tapaknya ke medan ketinggian yang bersetuju dengan adab agama dan berkenan pula dengan adat yang terutama, tiadalah kelebihan seseorang itu dengan perasaan dirinya sahaja, melainkan apabila menyaksikan yang demikian itu oleh segala mata yang melihat dan segala telinga yang mendengar seperti menyaksi kita bagi perbuatan orang yang dahulu dan sekarang… 

“…Maka menunjukkan bahawa kita daripada orang yang tiada beramal dengan amalan yang mendatangkan manfaat bagi jenis bangsa dan kaum, padahal jika tilikan orang yang dahulu dan yang sekarang yang boleh menjalankan kehidupan yang tinggi dan perintah yang bergoncang laut dan darat tiadalah pada mereka itu satu tulang dan urat yang terlebih dari kita.”

Menurut penulis, di dalam tulisan Tok Kenali seperti yang dipetik di atas, beliau mengajak bangsanya ini bangkit belajar dari tamadun orang-orang yang hebat tanpa merasa rendah diri akan keupayaan sendiri.

Kenyataannya pada bait ini ‘padahal jika tilikan orang yang dahulu dan yang sekarang yang boleh menjalankan kehidupan yang tinggi dan perintah yang bergoncang laut dan darat tiadalah pada mereka itu satu tulang dan urat yang terlebih dari kita.’

Tiada apa yang lebih ada pada Yahudi dan bangsa Eropah melainkan tetap mempunyai bilangan urat dan tulang yang sama dengan apa yang ada pada diri kita. Penulis nyata tidak mampu menyorok rasa kecewanya apabila mengatakan bahawa kita adalah bangsa yang malang sekali kerana terperangkap di dalam ketidakupayaan yang berpunca dari kelemahan pemikiran kita sendiri. 

Walaupun telah merdeka, kita masih lagi terbelenggu dengan keupayaan yang terpenjara oleh kekolotan pemikiran kita sendiri dan menjadi satu bangsa yang mudah dimanipulasikan. Kita menjadi sebuah bangsa yang sanggup menjadi soldadu kepada pihak yang mahu menggunakan kudrat dan keupayaan kita demi keuntungan jangka panjang yang langsung tidak menguntungkan kelestarian kehidupan kita di bumi Nusantara ini.

Bumi anugerah Allah yang bakal terlepas pegangannya kerana ramai di antara kita hanya wujud pada bilangan kiraan jasad, tetapi jasad itu bagai jamadat kaku dan kejur yang tidak berupaya berfikir dengan waras lantas menjadi mangsa manipulasi pihak yang berkepentingan. Duhai saudaraku… Walau di mana kalian berada, apa pun situasi kalian, bayangkan sekarang kita sedang duduk bersama-sama di bawah sebatang pohon cinta dan mendengar lagu ini bersama-sama. 

`Kalau menyanyi perlahan-lahan, dibawa angin terdengar jauh.’

Liriknya dimulakan dengan ayat ini. Ada yang menganggapnya bait rangkap pantun cinta, mungkin boleh diiyakan jika keseluruhan konteks lirik tidak diberikan perhatian. Pada pandangan penulis, setelah menyelami maksud tersirat yang ingin disampaikan penulis lirik lagu ini, ia merupakan satu mukaddimah nasihat kepada yang bakal mendengar keseluruhan lagu ini.

Seolah ia menyatakan, untuk mengubah dasar pemikiran umat Melayu ini, ia harus dilakukan dengan perlahan dan penuh hati-hati. Tidak perlu terlalu berebut dengan cemas yang merosakkan. Jika mahukan perubahan itu berlaku dengan sekelip mata, bukan itu caranya untuk berhadapan dengan umat yang darah keturunan mereka telah memeluk segala agama dan meninggalkan segala-galanya yang mengarut setelah berjumpa dengan kebenaran Islam.

Hanya umat manusia yang maju di dalam keupayaan pemikiran, menyambut Islam dengan tangan terbuka tanpa berbantah pada kali pertama bertemu dengannya. Hanya bangsa ini menerima Islam tanpa mempertikaikannya. Hanya jauhari mengenal manikam. Kebenaran yang dicari oleh manusia dengan asas pemikiran yang sihat akan segera dikenalpasti kehebatannya sebaik bertemu. Begitulah dengan Islam.

Bangsa Arab sendiri memerangi Islam sebelum ego mereka ditundukkan dengan kehebatannya. Tetapi perkara itu tidak berlaku dengan bangsa Melayu. Amat malang apabila keupayaan pemikiran ini telah tertimbus di dalam sela masa penjajahan yang terlalu lama.

Duhai saudaraku…

`Kalau hati tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh.’

Menyambung rangkap awal dengan nasihat bahawa gerakan untuk mengubah gaya pemikiran Melayu perlu dilakukan dengan penuh strategi dan berhati-hati, penulis lirik memasukkan nasihat mengenai akibat jika tersalah langkah atau keupayaan diri tidak cukup kuat untuk mengharungi cabaran tersebut. 

`Kalau hati tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh’

Tugasan ini bukanlah satu tugasan yang boleh dilakukan oleh orang-orang biasa. Kekuatan yang luar biasa diperlukan untuk mengheret umat Melayu keluar dari kubur kejahilan minda. Tanpa kekuatan dan daya ketahanan, di dalam apa jua keadaan, pembawa obor perubahan ini akan berada di dalam kedudukan yang tidak menyelesakan.

Tok Guru kata,

“Tujuan kita nak menyatukan ummah. Ada dua tujuan, Islam dan manusia. Itu kita kena satukan. Ikut suka orang nak bagi nama apa. Kita buat kerja kita, orang nak kata apa, kita jalan kerja kita.”

Allah telah merakam mengenai peperangan yang tercetus antara kumpulan Aus dan Khazraj sebelum kedatangan Islam. Apabila datangnya Islam, mereka bersatu dan berkasih sayang sehingga mengundang perasaan dengki golongan Yahudi. Akhirnya Yahudi kembali berusaha mencetuskan kembali permusuhan dengan mengungkit sejarah silam. Namun Baginda S.A.W berjaya memulihkan keadaan dengan sabda Baginda: 

“Apakah isu lama telah kembali sedangkan aku berada di sini? Tinggalkan perkauman 

Sekarang kamu semua telah disatukan oleh Islam.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu, dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

(Al-Hujurat : 10)

Jalinkan ukhuwah sesama kita. Jangan kita menjadi sebab berlakunya perpecahan. Bersabar dan jadilah pendamai.”

(
Tuan Guru Abdul Hadi Awang)

‘Ikan di laut asam di darat.
Dalam periuk bikin mufakat.
Duhai saudaraku sayang… marilah.

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -