Boleh batal bazar Ramadan apabila Covid-19 bertambah

- Advertisement -

PENDANG: Hampir 50 peratus daripada bahan buangan di pusat pelupusan sampah merupakan sisa makanan dari rumah.

Oleh itu Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berharap orang ramai mengelakkan pembaziran makanan.

Katanya sisa buangan makanan mencatat peratus agak tinggi di pusat pelupusan sampah dan ia makin meningkat di bulan Ramadan.

“Peratus itu bertambah sehingga 20 peratus di bulan Ramadan,” ujarnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mendaya Komuniti dan Kempen Kesedaran 3R di perkarangan Masjid As-Syakirin, Tokai semalam.

- Advertisement -

Kata beliau kempen kesedaran perlu dipergiatkan lagi supaya budaya pembaziran makanan dapat dikurangkan.

Menurutnya, penerapan dan pembudayaan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) merupakan cabaran besar untuk mengubah sikap masyarakat lebih menghargai sisa pepejal atau sampah sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan.

“Penglibatan penduduk dalam aktiviti kesedaran berkaitan 3R masih lagi di tahap rendah dan perkara ini perlu dititik beratkan.

“Kempen akan diteruskan ke setiap daerah sepanjang Ramadan ini dengan berpusat masjid sebagai lokasi program,” ujarnya.

Dr Mohd Hayati juga berkata, Bazar Ramadan di Kedah setakat ini diteruskan sepertimana ditetapkan memandangkan perkembangan kes Covid-19 masih terkawal.

Bagaimanapun pihaknya akan menyerah perkara tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan negeri sekiranya ada kemungkinan yang aktiviti itu terpaksa dihentikan.

“Saya berharap orang ramai dan pemilik gerai patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya gagal dan terdapat pertambahan kes, kemungkinan Bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi seperti di Kelantan dan Sarawak,” katanya.

Begitu juga aktiviti solat tarawih di masjid dan surau, Jabatan Agama Islam berhak membatalkan kebenaran sekiranya SOP dan peraturan yang ditetapkan tidak dipatuhi.

Sementara itu pada program berkenaan Mohd Daud Razali diumumkan sebagai pemenang kerana menyumbang bahan kitar semula seberat 39.4 kilogram, diikuti Siti Tiasa, 13.8 kilogram dan Norsiah seberat tiga kilogram.

Program anjuran Swcorp itu juga menyediakan booth pameran bahan kitar semula, manakala pada sebelah pagi diadakan gotong royong di kawasan masjid dan kubur bersama masyarakat setempat.

Dr Mohd Hayati yang juga Adun Tokai berharap orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin memandangkan perkembangan pendaftaran vaksinasi Covid-19 di Kedah agak perlahan. – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -