Kukuhkan penyatuan ummah, tolak perpecahan dan penjajaran baharu

- Advertisement -

RAMADAN menjadi bulan agung menyatukan seluruh umat Islam dalam melaksanakan ibadah pada masa dan himpunan tempat yang sama. Malah, ianya juga adalah kedatangan untuk melakukan tajdid atau memperbaharui jajaran diri dalam hal habluminallah dan habluminannas.

Dengan pelbagai gelaran diberikan kepada Ramadan, ternyata antara tujuannya adalah mengukuhkan diri sendiri untuk menyatu bersama ummah membawa kepada tujuan yang sama lagi satu iaitulah Allah S.W.T. Ini selaras pensyariatan ibadahnya dan keagungan besar terkandung di dalam Ramadan itu sendiri.

- Advertisement -

Termasuk antara terpenting di masa Ramadan adalah pengukuhan diri kepada al-Quran sebagai sumber rujukan teragung umat Islam. Yakni mestilah ia memandu diri dalam setiap perancangan dan tindakan, kerana di situlah juga akhlak dan qudwah Nabi Muhammad S.A.W, Rasul umat akhir zaman.

Juga hal perjuangan atau pengorbanan yang di sisi Allah dan sejarah umat menempa nusratullah yakni pertolongan Allah serta menjadi al-Furqan iaitu pembeza antara benar dan batil, juga anugerah al-Fath yakni kemenangan dan pembukaan kepada kegemilangan Islam.

Ketika sama Ramadan mengajar kita dengan kefardhuan zakat yang menjadi iktibar untuk tidak melupai golongan memerlukan. Lebih-lebih menyantuni ummah ketika sedang teruji oleh pandemik COVID-19 hari ini. Inilah perkhidmatan dari quwwah yakni kekuatan dimiliki pemimpin kepada para asnaf, muallaf dan mustad’afin.

Tiada agenda kepentingan peribadi, sebaliknya semuanya atas roh sama yakni penyatuan. Apatah lagi segala pelaksanaan ibadah dan himpunan bersama ini tidak sama sekali adanya jajaran baharu berunsur penyimpangan dan pengkhianatan yang membawa kepada perpecahan hingga akan merisikokan kegagalan.

Semua ibrah Ilahiyah dan Nabawiyah ini harus menjadi aqidah, ibadah dan syaksiyah dalam kehidupan kita lebih-lebih lagi tadbir urus negara dan berpolitik. Maka PAS Pahang menyeru sempena Ramadan ini untuk kukuhkan penyatuan ummah, tolak perpecahan dan penjajaran baharu.

USTAZ ROSLI ABDUL JABBAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -