Generasi muda yang membawa perubahan

Foto hiasan.
- Advertisement -

SELEPAS saya dilantik sebagai Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor pada bulan 2008, di antara fokus utama saya adalah untuk memastikan rakyat di Selangor memiliki kediaman yang sempurna. Tumpuan saya adalah pembangunan berstrata seperti pangsapuri kos rendah yang menghadapi masalah penyelenggaraan dan tahap juga kebersihan yang perlu dipertingkatkan.

Saya melihat terdapat masalah-masalah tersebut yang timbul akibat sikap penduduk. Contohnya kemudahan seperti lif yang kerap rosak kerana tidak diselenggara dengan baik. Di antara puncanya adalah kerana Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak mempunyai dana yang secukupnya akibat ramai yang tidak membayar yuran penyelenggaraan (maintenance fees). Terdapat juga lif-lif dan kemudahan-kemudahan awam seperti peralatan di padang permainan kanak-kanak yang menjadi mangsa vandalisme.

Sementara itu, MC dan JMB menggaji pekerja untuk membersihkan kawasan pembangunan mereka namun terdapat kawasan-kawasan itu yang tetap kotor kerana terdapat penduduk yang membuang sampah sesuka hati.

- Advertisement -

Masalah-masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan wang ringgit semata-mata. Contohnya lif dan peralatan di padang permainan boleh dibaikpulih tetapi jika ia kerap dirosakkan penduduk akan terus dibelenggu dengan masalah yang sama.

Justeru itu masalah utama adalah sikap ramai penduduk yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak merasakan pembangunan mereka adalah milik mereka. Ada yang tidak peduli jika ia kotor atau kemudahan-kemudahan tidak dapat digunakan.

Justeru itu kerajaan negeri telah melancarkan kempen untuk mengubah sikap penduduk di pembangunan berstrata. Kempen itu dinamakan “PANGSAPURI KITA BERSIH, CERIA DAN HARMONI”. Program-program turun padang ke seluruh negeri Selangor telah dirancang. Mini karnival, sukan, hari terbuka, ceramah, dialog dan program-program kemasyarakatan telah dianjurkan. Tujuannya adalah untuk memastikan penduduk menyayangi pangsapuri mereka dan akan menjaganya.

Kempen ini berjalan selari dengan program membaikpulih pangsapuri-pangsapuri di bawah program yang dinamakan CERIA. Untuk memastikan timbul rasa tanggungjawab di kalangan penduduk maka kerajaan hanya menanggung 80 peratus dari kos baikpulih. Baki 20 peratus ditanggung oleh penduduk yang boleh dibayar secara ansuran. Tujuannya agar penduduk merasakan kemudahan-kemudahan yang dibaikpulih bukan semata-mata menggunakan duit kerajaan tetapi juga duit mereka. Justeru itu mereka akan sama-sama menjaganya agar tidak dirosakkan.

Tetapi walaupun begitu banyak peruntukan yang telah dibelanjakan namun bukan kesemua masyarakat pembangunan strata yang dapat diubah. Memang benar terdapat pembangunan-pembangunan yang berjaya dan menjadi contoh kepada yang lain namun masih terdapat yang ketinggalan. Akhirnya setelah diteliti kerajaan negeri mendapati sasaran kami terlalu luas. Dari yang paling kecil kepada yang paling tua.

Agak payah kepada mereka yang telah sebati dengan amalan harian mereka sejak bertahun-tahun untuk mengubah amalan tersebut atau sikap mereka. Tidak mudah untuk menyuntik perkara-perkara yang baru. Justeru itu kami membuat rumusan untuk memberi tumpuan kepada generasi muda terutamanya yang masih di sekolah. Mereka yang akan menjadi pencetus perubahan di dalam masyarakat mereka. Mereka yang akan membawa perubahan kepada ibu bapa mereka dan adik-adik beradik mereka.

Maka selain dari kempen “PANGSAPURI KITA BERSIH, CERIA DAN HARMONI”, kami telah mewujudkan program-program untuk generasi muda. Di antaranya adalah program Kelab Interaktif Komuniti (KLIK) di mana kumpulan teras bagi pangsapuri-pangsapuri telah dikenalpasti. Kumpulan 15 hingga 20 orang remaja ini akan bertemu sebulan 2 kali yang diketuai oleh seorang penyelaras yang akan membimbing mereka. Modul untuk pertemuan ini disediakan oleh kerajaan negeri. Selain dari pertemuan-pertemuan itu, terdapat juga program-program santai, lawatan, gotong-royong dan himpunan di peringkat negeri. Ada yang berkata KLIK ini seperti Usrah dan ada yang berkata ia program santai.

Selain dari program KLIK terdapat juga program turun padang ke sekolah-sekolah di kawasan di mana terdapat pangsapuri-pangsapuri sama ada kos rendah atau kos-kos lain. Program di sekolah ini penting kerana ia dapat mendedahkan pelajar-pelajar kepada tanggungjawab sebagai seorang penduduk di kediaman berstrata. Generasi muda seperti pelajar-pelajar sekolah lebih senang dibentuk.

Pengalaman saya cuba mengubah sikap masyarakat di pembangunan berstrata ini bukan sahaja relevan pada pembangunan tersebut tetapi juga kepada situasi-situasi yang lain. Saya pernah beberapa kali menganjurkan klinik bolasepak bersama Akademi PKNS FC ketika saya masih ADUN. Saya telah membuka penyertaan klinik itu kepada pelajar sekolah menengah dan rendah. Walau bagaimanapun jurulatih dari akademi itu memberitahu saya untuk mendapatkan hasil yang terbaik fokus kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. Katanya budak-budak di bawah 12 tahun lebih senang untuk dibentuk. Mereka di sekolah menengah mungkin telah ada teknik-teknik tersendiri yang susah untuk mereka tinggalkan.

Kita kadang-kala memberi tumpuan kepada kelompok masyarakat yang hampir mustahil untuk diubah. Generasi muda lebih mudah tetapi perlu memerlukan cara yang tersendiri. Tetapi mereka tidak suka dipaksa atau disuruh. Program-program juga perlu sesuai dengan jiwa mereka. Program yang sesuai untuk orang tua mungkin tidak sesuai untuk mereka. Negara kita seolah-olah mengharapkan orang-orang tua. Orang-orang yang sama mewarnai dan membayangi perkembangan negara. Peluang perlu diberi kepada yang lain. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -