Peguam syarie bantu mahkamah syariah selesai kes

- Advertisement -

ARAU: Peguam syarie perlu menggalas amanah dan tanggungjawab membantu mahkamah syariah menyelesaikan tuntutan atau permohonan daripada klien melalui kes yang difail di mahkamah.

- Advertisement -

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, amanah yang besar itu memerlukan pengamalan nilai-nilai integriti, etika dan komitmen yang tinggi.

Menurut baginda, langkah itu bagi memastikan hak klien akan terbela berdasarkan kehendak hukum syarak.

”Laksanakanlah amanah dengan penuh tanggungjawab dan tidak bersikap sambil lewa bagi memastikan setiap kes yang dikendali mengambil tempoh yang munasabah untuk diselesaikan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada majlis penyampaian tauliah kepada 69 peguam syarie di negeri ini pada program di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajudin (PTSS) hari ini.

Baginda juga memberi peringatan supaya peguam syarie dapat memberi khidmat kepada golongan yang tidak berkemampuan.

”Janganlah dilupakan rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman syarie.

”Selaku peguam syarie, tuan-tuan dan puan-puan juga mempunyai tanggungjawab sosial korporat terhadap golongan tersebut untuk memberi khidmat guaman dengan kos yang tidak membebankan,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perlis Ibrahim Idris berkata, tiada rekod pengamal undang-undang syariah di negeri itu dikenakan tindakan menyalahi etika amalan guaman.

Katanya, setakat beliau berkhidmat di Perlis, tiada lagi rekod kesalahan yang dilakukan peguam di negeri itu.

”Alhamdulillah kita harap tidak akan berlaku, sijil pertauliahan mereka boleh ditarik balik apabila didapati menyalahi etika amalan guaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -