JKM lancar projek rintis bantuan tanpa tunai

- Advertisement -

KANGAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancar projek rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tanpa Tunai (cashless).

- Advertisement -

Menterinya Dato’ Seri Rina Mohd Harun berkata, projek itu akan diperluaskan ke seluruh negara membabitkan semua penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seiring dengan keperluan semasa dan normal baharu.

Katanya, langkah itu dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat khususnya golongan sasar.

“Projek ini akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik Bank Islam bagi tempoh enam bulan bermula 1 Februari lepas sehingga 31 Julai hadapan.

“Ia melibatkan JKM Perlis dan tiga Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) iaitu Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar di Kedah serta PKMD Melaka Tengah, Melaka,” katanya pada program berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis tersebut.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan & Bantuan Bencana dan Hubungan Kerjasama Sempadan, Ruzaini Rais dan Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff.

Rina juga berkata, sehingga 1 April lepas seramai 650 penerima bantuan baharu menyertai projek rintis tersebut.

“Melalui kaedah ini, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang dilulus dan akan dikreditkan ke dalam kad ATM/Debit Bank Islam.

“Manakala 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam Kad Cashless JKMPay. Sebagai permulaan penerima bantuan hanya boleh berbelanja untuk barang keperluan asas, harian dan ubat-ubatan di kedai-kedai yang berdaftar dengan Bank Islam,” ujarnya.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion kepada kementerian terbabit untuk menambah baik sistem perkhidmatan penyampaian bantuan selari dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -