UMK-Konsul Thailand jalin kerjasama akademik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Konsul Jeneral Thailand di Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti staf dan pelajar.

Kerjasama itu dibentuk bagi meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak khususnya berkaitan pendidikan.

Selain itu bertujuan memberi peluang kerjasama lebih luas dalam bidang mobiliti, penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran (P&P) menerusi program lawatan balas Konsul Jeneral Thailand ke UMK.

- Advertisement -

Program berkenaan sebagai susulan kunjungan hormat Naib Canselor UMK Prof Dato’ Ts Dr Noor Azizi Ismail ke Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu 16 Mac lepas.

Lawatan balas delegasi Konsul Jeneral Thailand diketuai Timbalan Konsul Jeneral Tuan Mongkol Sinsomboon.

Hadir sama Jantarat Ngamchana, Salakjit Nakduang, Sirikul Boonyadechaas dan Sh. Aida. Mereka mengadakan kunjungan ke UMK Kampus Kota dan UMK Kampus Bachok baru-baru ini.

Pada lawatan itu turut diadakan perbincangan berkaitan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) serta Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Delegasi Konsulat Thailand juga dibawa melawat ke Elysian Spa, Basil Leaves dan Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota.

Di UMK Bachok pula delegasi melawat ke sekitar kampus serta mengadakan perbincangan bersama warga Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI). – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -