Bakul Amalnita tanda sokongan kepada ‘frontliners’

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Amalnita Pahang sedang giat mengagihkan hasil pelancaran Bakul Amal kepada frontliners bertugas yang dihantar langsung ke pondok-pondok pasukan keselamatan di sekolah dan golongan muallaf.

Aktiviti pengagihan ini dilakukan semenjak 1 April yang lalu dan masih diteruskan sehingga menjelang Ramadan beberapa hari lagi, sekali gus menjadi tanda sokongan dan solidariti kepada para petugas barisan hadapan negara ini.

Projek Bakul Amal telah dilancarkan pada bulan Mac yang lalu di tiga lokasi terpilih iaitu Pasaraya Irsyad Balok, Pasar Mini Taybah Balok dan Pasaraya SMART, di sini bertujuan mengumpul dana dan keperluan barangan dapur Ramadan.

- Advertisement -

Turut hadir menyumbang barangan ke dalam Bakul Amal ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu yang juga ADUN Beserah di mana memuji inisiatif Amalnita Pahang dalam menyemarakkan Ramadan itu.

“Semestinya untuk mendapatkan dana, memerlukan usaha yang bersepadu dan tenaga yang banyak serta mengambil masa yang panjang lebih-lebih lagi perolehi kesedaran dan bantuan daripada orang ramai,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengharapkan akan ramai lagi individu menyertai pertubuhan sukarelawan in8 bagi membantu petugas yang sudah ada menjalankan kerja-kerja kebajikan, pada waktu sama menyumbang masa dan tenaga menjayakan kebajikan.

Andansura juga mengharap dengan adanya program sebegini masyarakat setempat mempunyai ruang dan tempat untuk mengadu, juga diharapkan mereka yang benar-benar perlukan bantuan supaya tampil.

“Jangan malu-malu seolah-olah menyembunyikan diri tapi sebaliknya terus tampil dan maklumkan apakah keperluan mahupun kesusahan, pihak NGO akan berusaha membantu mereka yang memerlukan. 

“Usaha-usaha sebegini yang dijalankan oleh NGO sepatutnya beroleh sokongan padu oleh masyarakat yang terdiri dari pelbagai lapisan kerana untuk menggerakkan program ini, mereka memerlukan dana, sokongan dan sumbangan tenaga daripada orang ramai juga. 

“Jadi kalau masyarakat sekeliling tidak peka, tidak cakna dan tidak prihatin, dibimbangi usaha-usaha sebegini berkurangan dan tidak ada penggerak yang boleh menggerakkannya,” katanya.

Hasil dari gabungan kerjasama pasaraya Buy Muslim First (BMF) ini yang membenarkan kaunter sumbangan Bakul Amal dibuka, Amalnita Pahang dapat mengumpul dana dan sumbangan barangan dapur daripada orang awam.

Hasilnya turut diagihkan kepada golongan sasar hasil bantuan PERKIM Kuantan dan Skuad Prihatin Muslimat Indera Mahkota.

Pengerusi Amalnita Pahang, Rosmawati Bohari memberitahu, agenda Bakul Amal ini akan dijadikan agenda tahunan memandangkan ada sambutan daripada orang ramai terutama ia juga menjadi sedekah Ramadan.

“Orang ramai merasakan itu adalah peluang bagi mereka menyumbang dan hasil kutipan pun dapat menampung agihan ke kumpulan sasar yang telah dirancang”.

“Bagi pihak Amalnita Pahang agenda ini boleh dilaksanakan dengan lebih sempurna lagi pada tahun-tahun akan datang dan kaunter akan dibuka serta diperluaskan lagi ke beberapa buah pasaraya lagi”, ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -