Penjawat awam jangan amal budaya bodek

- Advertisement -

- Advertisement -

ALOR SETAR: Penjawat awam dinasihat tidak mengamalkan budaya membodek sebaliknya menjalankan tanggungjawab dengan penuh berhemah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak mahu penjawat awam mengamal budaya membodek ketika menjalankan tugas yang dipertanggungjawab.

Sebaliknya penjawat awam digalak menjadi pihak yang menyuarakan suara hati rakyat dan bertindak menangani sebarang masalah yang timbul.

“Jangan kerana hendak menggembirakan hati ketua maka masalah yang berlaku disembunyikan di bawah karpet.

“Begitu juga jangan letak hiasan-hiasan untuk melindungi kekurangan dan kelemahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Menteri Besar bersama Penjawat Awam di Dataran Wisma Darul Aman di sini semalam.

Kata beliau penjawat awam hendaklah mengutamakan nilai murni, bersikap jujur, ikhlas dan amanah ketika menjalankan tugas.

Menurutnya beliau yakin penjawat awam di Kedah mampu melaksanakan tugas sebaiknya untuk kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian hampir 2.2 juta rakyat di negeri itu.

“Jangan pula meletakkan soal gaji sebagai ukuran untuk melaksanakan tanggungjawab tetapi yang lebih penting keberkatan.

“Penjawat awam disaran turut membantu penduduk yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 bak kata pepatah ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit juga,” ujar beliau.

Menurutnya juga mereka hendaklah memberi perkidmatan sebaik mungkin ketika masih berkhidmat sekarang bagi mengelakkan menyesal setelah pencen kelak.

Menteri Besar juga berkata, sepanjang menerajui negeri itu beliau mengakui menerima kerjasama baik daripada semua pihak sama ada pegawai negeri atau persekutuan. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -