Muallaf Orang Asal disantuni bersiap hadapi Ramadan

- Advertisement -

PAYA BESAR: Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Kawasan (LPN) Paya Besar telah mengadakan program Sumbangan Ramadan bertempat di Perkampungan Orang Asal Sungai Mas, Sungai Lembing, di sini baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Pilihanraya DUN (JPrD) Sungai Lembing ini bertujuan menyantuni Orang Asal (OA) dan muallaf serta memberi sumbangan berupa kit barangan dapur sempena Ramadan yang semakin dekat.

Pimpinan Muslimat PAS Paya Besar yang turut hadir ialah Ketua Muslimat, Ustazah Norzilah Hussin dan Pengerusi LPN, Halina Ali serta Ketua Halwa DUN Sungai Lembing, Fauziah Nordin dan Setiausaha JPrD, Ahmad Firdaus Dollah.

- Advertisement -

Di samping itu juga, sumbangan pakaian terpakai yang dikumpulkan dari orang ramai juga telah diserahkan semasa program tersebut, selain berkesempatan mengenalpasti mereka yang tidak mendaftar mengundi.

Wakil OA Sungai Mas, Abu Junoh yang menjadi pemudah cara dan sering memberi pertolongan setiap kali program diadakan di sana, berbesar hati dan mengalu-alukan kedatang rombongan wakil dari PAS Paya Besar ini. 

Harapannyo, minta dibuat la’i (lagi) program ini. Itu yang diharapnyo,” ujar beliau dalam loghat dialek kaum Jakun.

Ustazah Norzilah ketika mengulas program ini berkata, beliau melihat kegembiraan masyarakat Muslim Orang Asal untuk menerima kehadiran Ramadan dan menunaikan ibadah puasa yang difardukan. 

“Jadi, dengan bantuan yang kita bagi, mereka rasa gembira kerana dengan adanya sumbangan daripada PAS sebelum lagi masuknya Ramadan. Kita membantu mereka untuk bersama-sama gembira menyambut kehadiran Ramadan.

“Apa yang kita harapkan, mereka melakukan ibadah puasa ini menjalani dengan ikhlas dan mengajak seluruh ahli keluarga bersama-sama menghayati Ramadan. 

“Dan dapatlah agar menambahkan amalan lain seperti membaca Al Quran, dan amalan-amalan yang mudah seperti membaca zikir serta doa-doa ringkas,” ujar beliau. 

Rombongan turut berziarah menemui Ketua Muslimat PAS Kampung Panching, Salmah Awang Dahlan yang baharu kematian suami, Allahyarham Husin Zainal yang juga mantan Siak masjid kampung tersebut. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -