YPM salur RM172,000 kepada Kelantan bantu pelajar

Foto daripada Facebook Yayasan Pelajaran MARA - YPM.

KOTA BHARU: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menyalurkan sebanyak RM172,000 kepada kerajaan Kelantan untuk membantu perbelanjaan persekolahan seramai 2,820 pelajar menengah dan rendah di seluruh negeri ini.

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pendidikan YPM itu meliputi bantuan Program Back To School YPM dan Program Celik al-Quran.

Advertisement

“Sebanyak RM168,000 telah diperuntukkan menerusi Program Back To School YPM di Kelantan yang melibatkan 14 kawasan Parlimen untuk dimanfaatkan oleh 2,800 pelajar.

“Sementara menerusi Program Celik al-Quran, bantuan berjumlah RM4,000 telah diperuntukkan untuk diberikan kepada 20 pelajar terpilih di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nizar menyerahkan replika cek wang tajaan bernilai RM172,000 itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Nizar berkata Program Back To School YPM merupakan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin atau kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar.

Beliau berkata, menerusi program itu juga YPM telah menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengenal pasti pelajar dalam kategori B40 bagi menyalurkan bantuan kepada mereka.

“Bagi Program Celik al-Quran pula, ia adalah inisiatif YPM dalam usaha mendekatkan golongan muda dengan al-Quran selain bertujuan untuk membantu peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk mempelajari asas bacaan al-Quran yang betul.

“Diharap dengan adanya sumbangan dan peruntukan yang diberikan ini ia dapat memberi galakan kepada pelajar untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan disamping dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa mereka,” katanya. – BERNAMA