PAS Perlis imarah Ramadan ikut SOP ketat

- Advertisement -

KANGAR: PAS Perlis akan memanfaatkan kebenaran kerajaan dengan mengadakan pelbagai aktiviti sempena Ramadan ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, kebenaran pelaksanaan program-program parti di setiap peringkat dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“PAS Perlis bersetuju memberi kebenaran pelaksanaan program-program parti di seluruh peringkat di negeri ini sepanjang bulan Ramadan nanti.

- Advertisement -

“Program-program tersebut termasuk solat tarawih berjemaah, majlis iftar, tadarus al-Quran, edaran bubur lambuk dan sebagainya dibenarkan dilaksanakan di premis-premis milik parti,” katanya di sini semalam.

Perlis antara negeri yang mencatat bilangan kes harian positif yang rendah. Malah semalam tiada kes baharu dilaporkan di negeri itu.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan solat tarawih di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada satu kenyataan bertitah pelaksanaan semua aktiviti tersebut berkuat kuasa 1 Ramadan di masjid dan surau.

Menurut baginda aktiviti itu perlu dilakukan mengikut SOP kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Bagi mengelakkan berlaku limpahan kehadiran jemaah, solat tarawih boleh dilakukan dalam dua sesi,” titah baginda.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, sempena kedatangan bulan Ramadan bermula Selasa hadapan, ahli PAS diajak mengimarahkan kehadiran bulan mulia itu dengan pelbagai aktiviti.

Kata beliau kebenaran tersebut tertakluk kepada pematuhan ketat SOP termasuk merekod bacaan suhu, pemakaian pelitup dan penggunaan aplikasi MySejahtera.

“Atau rekod kehadiran secara manual serta penggunaan sejadah sendiri. Kebenaran yang diberi kerajaan membolehkan orang ramai mengimarahkan Ramadan dengan sebaiknya,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -