Lokasi tanah runtuh di Pohon Chelagi merekah semula

PASIR MAS: Seramai 10 keluarga di Kampung Pohon Chelagi dekat sini hidup dalam ketakutan selepas menyedari benteng Sungai Kelantan berhampiran rumah mereka runtuh.

Kediaman mereka terletak kira-kira 100 meter daripada lokasi tanah runtuh dua bulan lepas, disedari mulai merekah semula malam kelmarin.

Mereka juga memberitahu tidak mahu berpindah ke tempat lain sekiranya diminta berbuat demikian kerana lokasi itu menjadi tempat tinggal mereka sejak puluhan tahun lalu.

Advertisement
Mohd Syukri Syuib

Seorang penduduk Mohd Syukri Syuib, 46, berkata, walaupun rumahnya terletak 300 meter dari lokasi tanah runtuh, namun keluarganya sentiasa berada dalaam kebimbangan.

Beliau berharap kerajaan mempercepatkan lagi projek membaiki tebing Sungai Kelantan yang runtuh bagi mengelak kejadian bertambah parah.

“Saya berharap kerajaan melaksanakan tindakan segera agar kejadian yang berlaku dua bulan lalu itu tidak berulang khusus apabila hujan kebelakangan.

“Dengan kejadian tanah runtuh kedua saya rasa runsing juga, kalau pihak berwajib tidak mengambil tindakan cepat kemungkinan hujan sekarang memburukkan lagi keadaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini kerajaan meluluskan peruntukan segera RM60 juta bagi membaik pulih tebing sungai runtuh di Kampung Pohon Chelagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek membaik pulih tebing berkenaan akan dilakukan segera dan dijangka disiapkan akhir Oktober hadapan.

Pada kejadian 17 Februari lepas seramai 50 penduduk di Kampung Pohon Chelagi dipindahkan berikutan kejadian tebing runtuh sepanjang 500 meter.

Malah kerajaan negeri juga membantu membayar sewa rumah mangsa yang terlibat secara bulanan di lokasi lebih selamat.

Lee Siew Lim

Seorang lagi penduduk Lee Siew Lim, 51, memberitahu keluarganya kini hidup dalam kebimbangan selepas kedua-dua kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi dan Dataran Air Moleh.

Katanya hasrat untuk menduduki rumah baru di Kampung Pohon Chelagi terpaksa dilupakan selepas dimaklumkan jiran mengenai rekahan tanah di belakang kediamannya.

“Rumah saya lokasi paling dekat kira-kira 100 meter daripada tapak kejadian tanah runtuh baru-baru ini yang menyebabkan lebih 50 penduduk terpaksa dipindahkan.

“Saya belum pindah ke rumah baru lagi kerana dalam proses ubah suai dan baiki, tetapi disebabkan tanah runtuh menyebabkan saya kena tangguh dahulu hasrat itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2021