MAFI pasti makanan negara terus terjamin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerima peruntukan sebanyak RM410 juta untuk dimanfaatkan melalui beberapa program dan projek.

Antaranya Program Kebun Komuniti, Projek Pertanian Organik, Program Ladang e-Satelit, Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan dan sebagainya.

Timbalan Menterinya Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, kumpulan sasar program terbabit iaitu petani, penternak dan nelayan.

Katanya golongan berkenaan terus dibantu terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

- Advertisement -

“Sebanyak 36 inisiatif dirangka di bawah Dana Jaminan Makanan berjumlah RM1 bilion,” katanya ada program ’60 Minit Bersama MAFI’ di TV Alhijrah semalam.

Menurutnya juga kerajaan dalam fasa penggubalan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN).

Kata beliau dijangka DAN 2.0 akan dimuktamad dan dilancarkan pada Mei ini.

Menurutnya juga transformasi sektor agromakanan negara turut dipergiatkan dengan beberapa inisiatif dan insentif kerajaan dalam menjayakan agenda itu.

Beliau juga berkata, MAFI menggalakkan anak-anak muda menceburi bidang pertanian dengan memberi khidmat nasihat teknikal, latihan dan kursus yang dianjurkan secara intensif.

“Geran Agropreneur Muda (GAM) dan Pembiayaan Agro-YES adalah antara inisiatif yang dilaksanakan MAFI.

“Ia sejajar dengan Revolusi Industri 4.0. MAFI juga sedang merangka program-program berteras teknik dan teknologi moden serta pintar seperti penggunaan dron diintegrasikan dengan internet of thing (IoT).

“Selain itu pengurusan tanaman melalui aplikasi internet, pengecaman perosak melalui kecerdasan buatan (A.I.) dan sebagainya bagi meningkatkan kecekapan serta mengurang kebergantungan kepada tenaga kerja,” ujarnya.

Beliau juga berharap penjelasan yang dibuat melalui TV Alhijrah memberi pencerahan mengenai usaha-usaha MAFI memastikan sumber bekalan makanan negara terus terjamin. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -