Keluarga arwah amilin Bentong terima manfaat SkimPAS

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong telah menyerahkan manfaat khairat kematian atau manfaat SkimPAS kepada keluarga Ahli Jawatankuasa PAS Bentong, Allahyarham Abdul Muzir Samsuddin, semalam.

Serahan replika cek mewakili nilai RM10,000 ini disampaikan Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah kepada balu Allahyarham, Tun Khatijah Shariff, 46 sempena ‘Genggam N.34 Ketari PRU15’ di Villa Singgahsana, di sini.

- Advertisement -

Menurut Perunding SkimPAS Kawasan (PSK), Yusma Yusof yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Bentong, Allahyarham terlibat kemalangan dan meninggal dunia November tahun lalu juga merupakan PSK.

“Kak Ma orang nombor satu daftar. Arwah nombor dua berdaftar bawah Kak Ma. Jadi tuntutan ini merupakan pertama yang dibuat untuk peserta SkimPAS Bentong,” ujar Yusma selaku PSK yang menguruskan tuntutan itu.

Menurutnya, pihak Takaful Etiqa telah mengkreditkan amaun tersebut terus ke akaun balu Allahyarham yang mana arwah juga menginfakkan sebahagian manfaat diterima kepada PAS Pusat dan PAS Kawasan.

Maklumnya juga, tempat Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Negeri Pahang sebagai PSK Bentong kini digalas Pengerusi LKK PAS Bentong, Muhammadin Mustafa.

Tun Khatijah dalam reaksinya dalam linangan air mata menyatakan rasa terharu dan sebaknya melihat wajah sahabat-sahabat arwah yang menyebabkan beliau teringat kepada suaminya itu.

“Andai ditakdirkan arwah masih ada, mesti dia antara orang yang sibuk mengurus program hari ini,” ujar beliau ketika menerima cek tersebut yang hadir bersama dua anaknya.

Muhammadin turut mengimbau kenangan bersama arwah yang disifatkannya sebagai individu hebat dalam melaksanakan kerja jemaah dan beliau berikrar menjalankan tanggungjawab sebaik pernah dilakukan.

“PAS Bentong akan sentiasa cakna terhadap kebajikan balu dan anak-anak arwah, insyaAllah,” ujarnya dengan kelopak mata penuh berkaca mengusap kepala anak bongsu arwah ketika jamuan ringkas usai program itu.

SkimPAS merupakan Skim Khairat Kematian dan Perlindungan Kemalangan di bawah seliaan LKK PAS Pusat dipimpin oleh Dr Rosni Adam dengan caruman serendah RM55 setahun. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -