Fiqh al Isti’ab (فقه الاستيعاب)

- Advertisement -

SOLUSI yang terbaik bagi melahirkan minda yang tidak terikat dengan konflik perebutan kerusi, dan minda yang lebih segar dalam projek dakwah adalah dengan memahami konsep Fiqh al Isti’ab. Bahkan minda ini sudah diterokai oleh para Salafussoleh.

Ia menjadi solusi kepada permasalahan bagaimana bilangan yang sedikit boleh mendominasi atau menguasai bilangan yang ramai? Dalam suasana menyatukan umat Islam di Malaysia khususnya perlu dilorongkan secara ilmu, bukan hanya dengan laungan semangat.

- Advertisement -

Secara asasnya, Fiqh al Isti’ab membincangkan mengenai penguasaan terhadap sasaran dakwah yang dikarang oleh Fathi Yakan (gambar). Skop yang lebih besar ialah penguasaan terhadap pemerintahan dan sebagainya.

Sekadar contoh yang mungkin boleh difikirkan. Yahudi di seluruh dunia hanya sekitar 0.02 peratus (Kajian Pew Research Center 2015). Tetapi bagaimana mereka berjaya menghuru-harakan dunia, bahkan sedang gigih ke arah membina empayar Pax Judaica? Fikirkan.

Allah S.W.T berfirman:

كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ 

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.”

(al Baqarah: 249)

Bilangan bukan menjadi ukuran sesebuah kemenangan. Tetapi keberjayaan itu terletak pada penguasaan, sekalipun dengan bilangan yang kecil.

Sekadar contoh Nabi S.A.W mengutuskan para pendakwah ke negara-negara lain. Saad bin Abi Waqqas, Muaz bin Jabal dan sebagainya. Dakwah itu diterima, sehingga negara-negara itu menjadi sebahagian kuasa pemerintahan Islam sekalipun bilangan mereka tidaklah ramai.

Bagaimana para pendakwah daripada Yaman satu ketika dahulu berjaya mengislam umat Islam di Nusantara? Adakah dengan bala tentera yang besar dan kekuatan persenjataan yang luar biasa?

Petikan daripada ayat 249 Surah al Baqarah tadi, Allah S.W.T menceritakan bagaimana tentera Thalut diuji dengan sebatang sungai, sebelum berperang menentang Jalut. Di situ kita boleh lihat bagaimana mereka dididik dengan penguasaan terhadap diri sendiri terlebih dahulu sebelum menguasai kekuatan fizikal Jalut.

Syeikh Dr Fathi Yakan Rahimahullah meletakkan 9 asas yang perlu dibentuk terhadap pihak yang terlibat dalam kumpulan ‘Al-Isti’ab Kharijiy’ خارجي   (penguasaan luaran) dengan pembentukan 9 perkara tersebut, entiti yang terlibat akan menjadi pembantu di laluan dakwah ‘Al-Isti’ab Dakhiliy’ داخلي   (penguasaan dalaman) yang sangat efektif.

Perkara tersebut ialah:

1. Mendalam pengetahuan agama.
2. Contoh teladan yang baik.
3. Kesabaran yang tinggi mendepani cabaran dakwah.
4. Mesra dan lembut dalam berinteraksi.
5. Membawa Method Taysir تيسير   (memudahkan) dan bukannya menyukarkan تعسير
6. Merendah diri.
7. Bermanis wajah dan kata-kata.
8. Memuliakan tetamu dan manusia.
9. Berkhidmat dan melunaskan keperluan manusia.

Tanpa kita sedar, rupa-rupanya ciri-ciri ini sudah menjadi sebahagian daripada isi-isi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang pernah kita laungkan selama ini.

Dari sudut kerencaman politik tanah air, yang sedang hangat dibualkan ialah kerusi ini siapa nak bertanding dan kerusi itu siapa nak bertanding? Hakikatnya kita tak perlu risau bab ini sekiranya kita benar-benar menguasai dan mendominasi rakan muafakat kita.

Andai mereka bertanding sikit kerusi sekalipun, tetapi mereka menguasai dan mendominasi kita, tak guna juga. Sebab itu yang perlu difikirkan bukanlah ‘bilangan’ kerusi, tetapi soal berjaya tak kita mendominasi mereka? Fikirkan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/4/2021

- Advertisement -