Pengukuhan kerjasama Bersatu dan PAS dalam PN

- Advertisement -

KENYATAAN media bersama Setiausaha Agung Bersatu dan Setiausaha Agung PAS.

Setelah mengikuti senario politik negara, kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS, diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah mengadakan suatu pertemuan pada 30 Mac 2021 bagi merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam Perikatan Nasional.

Menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional dalam membela kebajikan rakyat dan terutama buat masa ini bagi menangani wabak Covid-19, kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS telah bersetuju dengan ketetapan seperti berikut:

1. Bersatu dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

2. Bersatu dan PAS, selaku antara Parti Pengasas Utama Perikatan Nasional, akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti khususnya bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi.

Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen.

3. Bersatu dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.

4. Bersatu dan PAS sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung konsep tersebut, sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina secara bersama.

Bersatu dan PAS menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Setiausaha Agung Bersatu
DATO’ SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 31 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -