Formula 4+2: Apa di sebalik pengumuman Pulau A PSR?

- Advertisement -

PERSOALAN penting yang harus kita fikir rugikah masyarakat Pulau Pinang selepas pengumuman pelaksanaan Pulau A PSR yang dibuat kelmarin, 25 Mac 2021. Saya cuba menganalisa butir-butir pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang dan laporan-laporan media berkenaan perkembangan terbaru projek Tambakan Laut Penang South Reclaimation (PSR). 

Saya merumuskannya dalam formula 4+2. Apakah itu 4+2? 4 adalah Impak Kritikal dengan 2 tambahan Janji Politik yang kabur atau belum jelas dan agak meragukan.

- Advertisement -

4 Impak Kritikal tersebut adalah seperti berikut;

1. Pegangan 30:70 (PIC:SRS), tanah laut tergadai?!

Kelihatan tindakan terkini Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bakal menggadaikan laut di kawasan cadangan Pulau A untuk pemilik modal swasta Konsortium SRS dengan pelaburan modal ekuiti 1.3 bilion. PBN menyatakan ‘tidak bermakna projek ini milik swasta’ adalah suatu kontradiksi apabila perjanjian usahasama (JV) yang menggantikan perjanjian Project Delivery Partner (PDP) adalah dengan melepaskan 70 peratus untuk Konsortium SRS dan hanya 30 peratus dimiliki oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) yang dikawal oleh PBN. 

Masyarakat Pulau Pinang hilang kuasa majoriti bersuara apabila 70 peratus tersebut bukan lagi milik kerajaan negeri. Bukan setakat laut subur dengan kekayaan biodiversiti marin itu bakal tergadai, bahkan pegangan majoriti Pulau A juga tergadai.

2. Jamin hak milik pembida tertinggi.

PBN jelas akan menjamin keutamaan untuk pembida tertinggi daripada aset yang terhasil daripada pembangunan tersebut. Sudah tentu, nelayan tak masuk dalam senarai pembida tersebut. Seperti yang kita maklum, pada bulan lepas diumumkan oleh TKM 1, Dato Zakiyuddin mengenai habuan nelayan sekitar maksima RM20 ribu wang saguhati dan bot ‘underspec’ bakal diberi kepada nelayan, walaupun kawasan menangkap mereka bakal terjejas selama-lamanya.

Selain itu, masyarakat Pulau Pinang kelas pertengahan ke bawah pasti hanya mampu lihat aset yang bakal tersedia. Bukan senang-senang untuk mampu miliki. Jangan terkejut jika pemilikan asing bakal menguasai?

Bak kata pepatah, ‘Bagaimana Acuan , Begitulah Kuihnya’. Bagaimana acuan pembangunan, begitulah juga hasilnya. Mesra rakyat atau mesra pembida?

3. Nelayan ditewaskan, jaminan makanan semakin terjejas.

Acuan pembangunan yang utamakan pembida tertinggi ini akhirnya menewaskan ruang-ruang untuk nelayan terus bertahan. Semua ini berlaku selaras dengan restu PBN. Nelayan yang terlibat menyumbang untuk sektor perikanan lestari tidak dipertingkatkan, namun telah dipupuskan secara halus dan senyap atas alasan pembangunan. Pembangunan acuan apakah sehingga melucut hak mereka?!

Di samping itu, projek tambakan PSR bakal ini menjadi ejen kerosakan alam secara drastik. Laut yang subur dengan hasil marin yang kaya tergadai kerana mahu ditimbus. Ekosistem terjejas dan laut terus tercemar serta mengembangkan pencemaran apabila sisa korekan selut dalam laut dibawa arus.

Justeru, sektor perikanan yang menjadi sumber makanan negara terus terjejas. Ketika negara lain terus mempertingkatkan sekuriti makanan disebabkan cabaran Food Security di era pandemik COVID19 akan tetapi Pulau Pinang pula bertindak undur ke belakang dan mengambil risiko besar bakal menjejaskan jaminan makanan.

4. Tekanan permintaan air meningkat. Sekuriti air berisiko. 

Ketika Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bergelut mencari penyelesaian kelestarian air daripada negeri jiran, Kedah dan Perak. Ironinya, projek yang menyebabkan permintaan air tinggi seperti PSR diutamakan serta diteruskan.

Kerajaan Negeri berani mengambil risiko ini ketika mana masalah jaminan air belum selesai. Menambah risiko tekanan jaminan sekuriti air dengan komitmen epik untuk ‘pembida tertinggi’. 

Sewajarnya PBN perlu berhemah dalam mencipta sebarang permintaan air daripada pembangunan. Pembangunan mampan bukan hanya sebagai lakonan dalam retorik kertas kerja, persembahan PowerPoint, seminar hijau atau apa saja aksi yang menyerlahkan sikap ‘green-washing’

Komitmen pembangunan mampan perlu seiring dengan perancangan pembangunan yang dibuat. Kita kini di era darurat iklim yang pastinya mempunyai cabaran besar dalam Sekuriti Air dan Makanan. Mengapa perjudikan soal ini?

Seterusnya, sebagai pelengkap formula 4+2. 

2 Janji Politik yang kabur kerana perincian tidak jelas adalah seperti berikut; 

1. Rumah mampu milik.

Berapa peratuskah? Apakah masuk akal untuk dibanyakkan rumah mampu milik di Pulau A sedangkan kos pelaburan sangat tinggi? Apakah ini sekadar gula-gula yang mahu jadi penyedap hati bagi menutup 4 impak penting seperti yang telah dinyatakan di atas. 

2. Jaminan masa depan lebih baik untuk rakyat.

Dalam kenyataan PBN yang dibuat menyebut soal masa depan lebih baik melalui projek tambakan laut.

Apakah makna masa depan lebih baik , jika jaminan air dan makanan semakin terjejas? Apakah perincian kenyataan masa depan lebih baik? Bagaimana masyarakat Pulau Pinang dapat mengecap nikmat jika risiko kerugian daripada 4 Impak Kritikal di atas berlaku.

2 janji di atas sangat diragui. Kelihatan indah belaka sementara belum dijelaskan secara terperinci (details). Bak kata pepatah; 

“The devils is in the details.” 

(Kejahatan itu nampak apabila melihat perincian)

Saya mengharapkan masyarakat Pulau Pinang harus lebih kritikal untuk mendapatkan penjelasan terperinci secara bebas, telus dan tulus. Semoga formula 4+2 Pulau A PSR dapat membantu memudahkan kefahaman masyarakat Pulau Pinang terhadap isu ini. Apa di sebalik Pulau A PSR? Jawapan ringkas saya nampak adalah ‘Nikmat untuk pembida tertinggi’

ZIKRULLAH ISMAIL 
Bukit Jambul, Pulau Pinang
27 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -