IMAD Alatas, cucu Syed Hussein Alatas menjelaskan bahawa ‘minda tertawan’ (The Captive Mind) dalam bidang perancangan pembangunan adalah dengan menggunakan bahasa ‘perubahan’ dan ‘kecekapan’ ketika membincangkan pembangunan ekonomi.
Perubahan dalam erti kata, jika keluarga nelayan mahu keluar daripada kemiskinan maka, generasi anak-anak mesti tinggalkan kerjaya nelayan. Ini adalah ajaran karut yang ditanam yang selari dengan selera penjajah-penjajah bentuk baru yang bercita-cita untuk menguasai kawasan subur tangkapan ikan nelayan.
Walhal, ada sahaja nelayan berjaya dan kekal bangga sebagai nelayan. Nelayan adalah satu bidang kerjaya dalam sektor yang kaya yang tak merosakkan alam, kalis pandemik dan tahan gawat ekonomi. Kenapa harus bersikap culas dan selektif membina naratif negatif terhadap nelayan?
Sedangkan pemaju yang mempunyai dana besar tetapi culas sehingga merosakkan alam dan mencetuskan pembangunan yang melebarkan jurang sosial dijaja dengan naratif kononnya sebagai penyelamat yang membawa ‘perubahan’ demi pembangunan ekonomi.
Nelayan yang terpinggir dalam pembangunan ekonomi sudah tentu tak lari daripada kegagalan pemerintah yang bertanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka untuk maju dengan ruh kearifan tempatan (local wisdom).
Mencadangkan nelayan supaya tukar kerjaya menjadi ‘security guard‘, pemandu teksi air dan sebagainya adalah manifestasi kedangkalan idea pihak pemerintah yang gagal memahami makna pembangunan bersama kearifan tempatan. Minda tertawan dan Euro-sentrik sangat jelas tergambar.
Meminggirkan wacana kearifan tempatan dalam membangunkan nelayan adalah suatu pembunuhan halus walaupun berslogankan perubahan, pembangunan atau kecekapan ekonomi. Propaganda ‘berhenti jadi nelayan supaya tidak miskin’ telah dimainkan oleh pelobi Penang South Reclaimation (PSR) yang berhajat besar untuk merampas kawasan subur berteluk di sekitar, Teluk Tempoyak, Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Kawasan laut berteluk berdekatan pesisiran pantai ini jika ditambak bakal menjejaskan sektor perikanan Pulau Pinang. Ini ditegaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Dato’ Haji Salahuddin bin Ayub] dalam sidang Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019;
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan Projek Penang South Reclamation (PSR) akan menjejaskan seramai 4,996 orang nelayan di Pulau Pinang yang mana 1,422 orang adalah terdiri daripada nelayan tradisional Zon ‘A’.
“Adalah dianggarkan sebanyak 51,184 tan metrik dengan nilai RM525 juta setahun pendaratan perikanan tangkapan marin di Pulau Pinang akan terjejas akibat kemusnahan kekal ini. Projek PSR ini juga akan menjejaskan seramai 511 penternak akuakultur ataupun ikan marin dengan pengeluaran 54,742 tan metrik yang bernilai RM1.67 bilion setahun.”
Perkara ini adalah ‘The Ugly Truth‘ yang cuba ditutup oleh Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang daripada pengetahuan rakyat melalui media propaganda pihak berkuasa negeri.
Alangkah malangnya nasib majoriti nelayan Pulau Pinang mempunyai pemimpin sedemikian. Warna kulit yang sama dengan lagak gaya seorang profesional soleh pun belum tentu mempunyai ‘hati perut’ untuk melihat ketidakadilan sosial yang bakal berlaku kelak.
Nelayan terus dihimpit oleh boneka-boneka berwatakkan Si Buang dalam filem Sarjan Hasan, P. Ramlee. Wakil rakyat tempatan juga terlibat untuk membuli nelayan apabila bertindak seolah-olah broker supaya wang pendahuluan saguhati sekadar RM500 diterima dengan syarat tanda-tangan dan salinan kad pengenalan mesti diserahkan. Nelayan bersama pemimpin-pemimpin mereka tidak mengalah. Mereka tetap menggunakan saluran yang benar mengikut undang-undang untuk mempertahankan hak mereka.
Pimpinan Unit Nelayan Sg. Batu ketika ini sedang menanti tarikh perbicaraan rayuan terhadap Lembaga Rayuan, Jabatan Alam Sekitar Malaysia untuk membatalkan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang telah diluluskan pada 25 Jun 2019. Khabar angin bahawa Unit Nelayan Sg. Batu telah kalah perbicaraan ini sama sekali satu penipuan jahat yang direka-reka.
Pihak berkuasa negeri sebenarnya harus memberi peluang terhadap proses rayuan ini yang akan dijalankan perbicaraannya pada 25 dan 26 Mac 2021 nanti. Namun, sikap tidak menghormati hak nelayan ini dibalas dengan gerakan yang cuba untuk melemahkan nelayan iaitu membuat tawaran pendahuluan saguhati RM500.
Apalah makna RM500 jika nak dibandingkan dengan laut tempat mereka mencari rezeki akan dimusnahkan selama-lamanya. Pampasan keseluruhan bagi pemilik lesen sehingga RM20,000 itu pun sudah dikira suatu bentuk tawaran lelongan dan penghinaan terhadap nelayan.
Tindakan nelayan dan pimpinan mereka untuk tidak dapat bersetuju dengan tawaran RM20,000 ini adalah sejajar dengan saranan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 13 Julai 2019 dalam satu sesi dialog bersama nelayan di unit Sg. Batu, 2 hari selepas demonstrasi nelayan di Parlimen.
Ikuti sedutan transkripsi ucapan beliau;
“Tapi saya tidak akan membelakangkan kerajaan negeri.”
“Saya akan tetap bawa isu ini dan minta ada penyelesaian yang baik.”
“Dia bukan soal pampasan seperti macam saudara Nazri kata.”
“Kadang-kadang… orang kampung pun tahu. Projek berapa bilion?”
“Permulaan RM16 bilion… dia mungkin sampai RM40 bilion.”
“Pampasan berapa?”
“RM10 ribu, RM20 ribu.”
“Saya pun tak nak!”
“Saya nak cadangkan saudara… jangan terima.”
(Sambil menunjukkan riak muka serius ke arah hadirin di kalangan nelayan.)
Saranan ‘jangan terima’ jelas terpacul daripada pemimpin ini ketika itu. Ironinya, beliau adalah pemimpin utama kepada TKM1 Pulau Pinang di peringkat Pusat. Kenapa beliau tidak menasihati TKM1 Pulau Pinang supaya menghentikan kerja-kerja memberi saguhati pampasan sekadar RM20,000 yang bagaikan penghinaan ini? Apakah mereka semua saling lupa atau buat-buat lupa?
Sejauhmana mereka semua sebagai pemimpin ini bermuka-muka tanpa rasa malu untuk memperbodohkan nelayan dengan pelbagai kata-kata dan gula-gula untuk mengelirukan masyarakat Pulau Pinang?
Alangkah malangnya jika masih ada masyarakat Pulau Pinang masih mempercayai pembohongan demi pembohongan yang dibuat. Nelayan bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga sambil kaki terpijak paku.
Naratif minda tertawan dengan memainkan propaganda perubahan ekonomi dalam pembangunan yang menatijahkan kezaliman kepada nelayan pantai walaupun telah turun temurun menerokai kawasan tersebut.
Laut yang kaya dengan sumber udang segar dan hidupan marin anugerah daripada Tuhan untuk semua rakyat Pulau Pinang bakal dikambus menggantikan binaan batu bagi tempat kelas atasan mendapat nikmat.
Hasil laut tempatan segar untuk masyarakat Pulau Pinang selepas ini akan terus berkurangan. Pemimpin-pemimpin yang ada sekadar bertindak bagaikan boneka bagi memuaskan nafsu pihak berkepentingan.
Majoriti nelayan bersama pemimpin-pemimpin mereka akan terus bersatu. Nelayan tidak bodoh untuk diperkotak-katikkan. Sekarang masanya kebangkitan nelayan Pulau Pinang untuk terus menolak kerosakan-kerosakan laut yang dibuat atas nama propaganda pembangunan.
ZIKRULLAH ISMAIL,
Bersama Nelayan Penang Tolak Tambak
Bukit Jambul , Pulau Pinang
3 Mac 2021
P/s:
[1] Kearifan tempatan (Local Wisdom) merujuk kepada kebijaksanaan orang tempatan dalam sesuatu bidang dengan kepakarannya tersendiri yang diperolehinya berdasarkan ilmu pengetahuan atau pengalaman untuk keperluan hidup masyarakatnya. Contohnya Kearifan Tempatan yang ada dalam tradisi nelayan pantai.
[2] The Captive Mind : Ways of thinking in the fields of sciences and contemporary knowledge dominated by western thought in an imitative and uncritical manner.
[3] The Ugly Truth: Kebenaran yang mendedahkan keburukan sebenar. – HARAKAHDAILY 3/3/2021