PSR: ‘Kerajaan penjajah’ jadikan rakyat ‘hamba abdi’

- Advertisement -

BALIK PULAU: Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang jelas berwajah ‘kerajaan penjajah’ yang hakikatnya menjadikan rakyat bawahan seperti ‘hamba abdi’ semata-mata untuk mencapai matlamat politik mereka.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff membidas kedegilan untuk tetap meneruskan Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) di sebalik bantahan terhadap projek mega tersebut.

Tempelak beliau, tindakan itu bukan lagi acah-acah atau melobi sokongan, tetapi sebenarnya menunjukkan pihak kerajaan berada dalam tekanan dengan mula melakukan pembohongan dan desakan.

- Advertisement -

“Mereka terpaksa menyatakan PSR akan memulakan kerja-kerja tambakan pada Mac ini. Ini propaganda dan ada muslihat. Atau mereka cuba meraih simpati luar atau cuba menyekat pelabur dan bakal pelanggan daripada lari.

“Sedangkan semua kajian dan syarat ditetapkan belum dipenuhi mahupun mendapat kelulusan. Malah, terdapat kes yang berada dalam tribunal siasatan kerana mendapat bantahan awam dan pemegang taruh lainnya. 

“Sekarang mereka cuba memperalat khususnya individu nelayan supaya bersetuju dengan cara memberi saguhati dan janji-janji yang hanya gula-gula sahaja. Tidak ada kepastian, tetapi mereka mengambil kesempatan ketika rakyat terhimpit waktu COVID-19 ini.

“Ini manipulasi yang sama sahaja seperti eksploitasi memperdagangkan kehidupan, maruah dan masa depan rakyat. Tetapi yang dimenang dan diuntungkan adalah kapitalis kroni,” kecam beliau.

Kata Ustaz Fauzi, hal tersebut tidak pelik kerana penjajah akhirnya tetap akan menzahirkan watak sebenar kuasa veto dan diktator mengenepikan segala hak dan tanggungjawab demi nafsu rakus mereka.

Demikian itu selar beliau, kerajaan ini tidak lagi menjadi pemudah cara mahupun menghormati pihak terbabit antaranya persatuan-persatuan nelayan berdaftar, tetapi mula bersikap konfrontasi.

Beliau merakamkan syabas atas solidariti semua persatuan terbabit untuk tidak tunduk, sebaliknya terus komited memperjuangkan masa depan warga nelayan dan berharap para nelayan lain juga dapat turut bersama.

“Mereka sedang memujuk secara tipu daya terhadap individu-individu nelayan. Jangan percaya kepada musang berbulu ayam. Nasihat saya, jangan baru dengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

“Mereka sanggup jadi hantu menakutkan dan menyakat rakyat. Nelayan jadi mangsa percaturan yang munasabah untuk dikambinghitamkan. Semua ini ada agenda tersirat dan belakang tabir,” bidasnya lagi.

Tegasnya, objektif murni Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) untuk atasi kesesakan trafik di negeri ini sudah hampir tidak kedengaran, tetapi ‘kerajaan penjajah’ ini lebih ghairah dengan projek PSR tersebut.

Sedangkan ujar beliau, impak buruk daripada projek ini bukan sahaja akan menimpa rakyat dan keadaan negeri ini, tetapi juga terhadap negeri Perak dan Kedah selaku pembekal pasir dan kuari batu untuk tambakan.

Difahamkan, banyak kajian dan syarat di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) gagal mendapat kelulusan menyeluruh, sedangkan laporan berkaitan ada yang akan tamat tempoh pada Jun depan. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -