Harga Sebuah Pengorbanan

Ketika sinar mentari
Mengintai di sebalik jeriji
kamar
Pada dinding kehidupan
Ada potret usang tergantung
Wajah-wajah pejuang pertiwi
Lalu Jejari ini
Tiba tiba
Ingin menarikan bait-bait kata
Buat kalian
Usia sempurna
Menyambut ulangtahun ke 214
Perjuangan dan pengorbanan
Memerah keringat mempertaruh nyawa
Melawan petualang bangsa
Tanpa gentar
Tanpa undur
Tanpa mengalah

Advertisement

Kendatipun
Ramai yang sudah tiada
Pergi mereka tiada kembali lagi
Namun
Jasa dan bakti
Yang tercurah
Tak ternilai emas bergunung
Terkenang pengorbanan kalian
Terlalu suci dan tulus
Tanpa
Rasa jemu
dalam memikul amanah
Dan tanggung jawab
Biar pun
Jasadmu terbujur kaku
Darah mengalir tanpa henti
bertempur di medan juang
Menghadapi petualang Negara
Malah
Ramai teman taulanmu
Syahid di medan juang
Tak kurang juga
Masih bersemangat waja
Walau
Hanya berkerusi roda
Buat
Meneruskan
baki baki Penghidupan

Atas nama perjuangan
Demi Negara tercinta
Kau rela berkorban apa saja
Tanpa
Mengira derita dan sengsara
Tanpa
Mengira bangsa dan agama
Tanpa
Mengira pangkat dan darjat
Kau
Terus berbakti
Buat pertiwi tercinta

Demi
Sumpah keramat
Biar tubuh hancur berkecai
Biar jasad dicincang
Lumat
Perjuangan tetap diteruskan
Buat negara dan
anak bangsa tercinta
Sesungguhnya
Harga sebuah pengorbanan
Menghadiahkan
Aman dan damai
Amat kuhargai
Semoga jasa bakti kalian
Mengalir pahala sehingga ke syurga

USTAZ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan
Khamis 2.35 ptg.
11 Syaaban 1442
25 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 26/3/2021