Islam happy ending

- Advertisement -

SEGALA puji-pujian hanya bagi Allah S.W.T, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta apa sahaja yang ada di antara keduanya. Kita tidak pernah berhenti sebenarnya memuji Allah S.W.T tetapi, ramai di kalangan kita tidak memahami dan menghayati makna pujian yang kita lafazkan itu. Jadi ianya tidak memberi kesan mendalam di hati kita, untuk iman kita merasakan kehambaan kepada Allah S.W.T dan untuk kita mensyukuri seluruh nikmat yang Allah telah beri kepada kita. Kepada-Nya sahaja di sandarkan semua pengharapan, kecintaan dan pengabdian di dalam kehidupan ini.Semoga Allah melindungi kita dari kejahatan dan keburukan perbuatan kita sendiri.

Selawat dan salam ditujukan buat kekasih tercinta Rasulullah S.A.W, manusia termulia dan teragong yang kita sentiasa mengucapkan salam kepada beliau dalam zikir dan solat kita. Semoga salam ini akan mengikat hati kita untuk sentiasa menjadikan Insan Agong ini menjadi idola dan ikutan kita dalam kehidupan berTuhan ini. Salam ini juga buat para isteri tercinta Baginda, putera puteri Baginda dan para Sahabat Baginda seperti: Abu Bakar, yang telah menjadikan tubuhnya sebagai benteng melindungi Rasulullah S.A.W, Umar al Kattab yang ketika Islamnya , mengorbankan semua kekayaannya untuk perjuangan Islam, sanggup hijrah, dan disakiti oleh kaumnya demi kerana ingin mendampingi Rasulullah S.A.W, Othman bin Affan, diam-diam menginfakkan hartanya untuk Islam dan Ali bin Abi Talib, menantu dan juga insan yang telah dipercayai Rasulullah memegang panji tentera di Khaibar di saat sulitnya peperangan, sehingga Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Besok, panji pasukan ini aku akan berikan kepada seorang yang sangat mencintai Allah S.W.T dan Rasulnya , Allah S.W.T dan Rasullullah S.A.W juga mencintainya”. Siapa orang itu? Ali bin Abi Talib.

- Advertisement -

Barangsiapa yang ingin berjumpa dengan Allah S.W.T, berjumpa dengan orang-orang pilihan Allah S.W.T, berjumpa dengan Sahabat-sahabat Rasulullah S.AW, maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak melakukan kesyirikan sedikit pun.

Apabila kita melihat gelapnya di ufuk Timur, seolah-olah fajar tidak akan menyinsing, hilangnya sinar, mentari tidak akan muncul. Ke mana hilangnya cahaya? Adakah siang tidak akan muncul dan subuh tidak akan wujud lagi? Kita tercari-cari di mana cahaya. Tidak mungkin kegelapan malam akan berpanjangan, mentari pasti akan bersinar kembali sebab dunia belum kiamat.

Inilah realiti kehidupan umat Islam sekarang. Umat Islam seolah-olah hidup dalam kegelapan dari sinar keindahan cahaya Islam, umat Islam sentiasa tercari-cari cahaya yang akan menerangi kembali dunia ini. Yang jelas kelihatan umat Islam telah diserang dengan penyakit putus asa dan kebodohan. Ya! kegelapan yang menimpa umat Islam ini memang ada, tetapi percayalah kegelapan ini akan terusir dengan kedatangan cahaya Islam. Setiap pejuang kebenaran dan pendakwah mesti optimis yang Islam akan menang dan menyakini bahawa masa depan adalah milik Islam, pertolongan dan kemenangan sudah dekat.

Inilah sikap yang ditekankan oleh Hasan Al Banna dalam pendidikannya. Tujuannya untuk mengikis habis sikap putus asa dan kebodohan yang ditanamkan oleh penjajah terhadap umat Islam. Beliau hendak mengingatkan umat Islam, bahawa keputus-asaan adalah sejenis kekufuran:

“…dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”

(Yusof: 87)

Sikap optimis ini tercermin dalam kata-kata Hasan Al Banna sendiri:

“Kenyataan kini adalah impian semalam, impian hari ini akan menjadi kenyataan esok hari.”

Cita-cita umat Islam merupakan cita-cita yang sangat besar, iaitu mewujudkan kemerdekaan peribadi dan masyarakat dan memberikan petunjuk untuk dunia.

Walaupun keadaan umat Islam mungkin terserang mengantuk namun dia tidak pernah tidur, ya! Kadangkala umat Islam sakit tetapi dia tidak pernah mati dan sampai kelak ke hari kiamat, umat Islam akan tetap ada, umat Islam mungkin berkurang di beberapa tempat, kerana sampai ajal atau kerana diseksa dan dibunuh oleh musuh-musuh Islam, tetapi umat Islam tidak akan pernah habis! Ingat itu, duhai sahabat-sahabat.

Umat Islam mungkin lemah, tetapi tidak pernah patah tubuhnya, untuk dia bangkit kembali, umat Islam yang aktif dalam dakwah dan perjuangan akan dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat di luar daerah atau pendalaman terpencil, tetapi umat islam tidak akan pernah hilang dan hilang semangat di muka bumi ini. Umat Islam akan terus menybar dakwah walaupun di ceruk mana mereka diletakkan. Dan sinar Islam akan terus menerangi dunia ini.

Generasi pertama umat Islam, para Sahabat Nabi, manusia pilihan yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk mendampingi Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan agama Allah ini. Pernah ada sebahagian daripada mereka yang merasakan bahawa penyeksaan kaum Kafir Quraisy dan rencana jahat kaum Musyrikin, akan menjadi penghalang dakwah Nabi S.A.W. Ya! biasalah manusia berfikir seperti begitu! Mereka mengira bahawa seksaan itu akan menghancurkan diri umat Islam. Tidak! Silakan kau seksa terus, umat Islam tidak akan pernah mati, sahabat. Tatkala seseorang diseksa, dia bertahan, diseksa lagi, dia bertahan lagi kerana mereka yakin dengan agamanya.

Sebahagian dari para Sahabat di awal kebangkitan Islam di Makkah, teruk diseksa seperti Sumayyah wanita pertama yang syahid dengan penyeksaan disula dengan tombak di kemaluannya sampai mati, Bilal bin Rabah, dijemur di bawah terik matahari dan dihempap dadanya dengan batu besar di padang pasir Makkah, Ammar bin Yassir dan ayahnya diseksa, Khabbab bin Arats dipanggang atas penyalai dari besi dan yang lain-lain lagi. Kebanyakkan umat Islam sudah tahu cerita ini. Semua cerita ini untuk kita, untuk umat Islam dan untuk pejuang Islam akhir zaman sebagai pelajaran untuk terus istiqamah meneruskan perjuangan ini, yang telah dimulai oleh Nabi S.A.W dan para Sahabat Baginda. Ingat sahabat!, pengakhiran yang baik itu atau happy ending itu adalah untuk mereka generasi awal dan mereka yang mengikutinya, sekarang kita sedang menunggu giliran.

Khabab bin Arats, Sahabat Rasulullah S.A.W pernah dibakar belakangnya sampai hangus. Api yang membakar itu mati dari cairan yang menitik dari belakang Khabab sehingga tidak mengeluarkan air cairan lagi. Kering Sahabat. Dia dan Sahabat-sahabat sependeritaan dengannya mendatangi Rasulullah S.A.W dan mengatakan kepada kekasihnya, kepada manusia yang paling mulia, dia mengatakan:

“Ya Rasulullah S.A.W, apakah engkau tidak berdoa minta tolong kepada Allah S.W.T bagi kami?” Lalu Nabi S.A,W, mengatakan kepada mereka, “Dahulu sebelum kalian, ada seorang lelaki (Pengikut Nabi sebelum kalian) yang diseksa, digalikan tanah lalu mereka didirikan di dalam tanah, lalu ditimbus kecuali kepalanya, kemudian digergaji di kepalanya (Dalam kondisi mereka hidup dan disaksikan oleh orang ramai) sehingga terbelah dua kepalanya, tetapi seksaan itu tidak membuat mereka berpaling dari agamanya.”

Ya! Hal ini sudah terjadi kepada mereka yang terdahulu, tetapi ingatlah! Islam tidak akan habis atau hilang. Kelakuan orang kafir ini tidak memalingkan mereka dari agamanya. Kalian mahu menyeksa umat Islam, silakanlah seksa pada tubuh yang akan menjadi bangkai dan rebutan ulat. Semua yang hidup pasti akan mati, lambat atau cepat sahaja.

Ada pula yang diseksa tubuhnya dengan sikat dari besi, sehingga daging mereka terpisah dari tulangnya, dan seksaan itu tidak membuat mereka berpaling dari agamanya. Demi Allah, Allah S.W.T akan menyempurnakan agama ini, sampai nanti ada seorang yang berjalan dari Shana’a ke Hadlramaut, mereka tidak takut kecuali kepada Allah (Negeri itu menjadi negeri yang aman, tidak ada kekhawatiran bagi mereka) dan mungkin pada serigala yang akan memakan kambing-kambingnya. Tapi kalian adalah kaum yang tergesa-gesa.

Bayangkan sahabat! Setelah begitu berat penyeksaan yang telah ditanggung oleh para Sahabat, Nabi masih mengatakan yang bermaksud:

“Kalian orang yang tergesa-gesa.”

Kalau mereka Nabi sebutkan orang yang tergesa-gesa, bagaimana dengan kita? Dalam Hadis di atas Rasulullah S.A.W menyatakan mengenai negeri yang aman, tetapi bukan sahaja dari Shana’a ke Hadlramaut malah Rasulullah S.A.W menyatakan kebaikan-kebaikan agama ini akan sampai di mana adanya malam dan siang. Islam bukan untuk bangsa Arab sahaja, tetapi Islam untuk semua manusia, tanpa mengira apa bangsamu, apa warna kulitmu. Selama kalian manusia, Islam akan datang menghampiri kalian. Di mana-mana sahaja bumi kalian pijak, kalian akan mendapatkan keberkahan Islam itu sendiri. Seperti sabda Nabi di bawah yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya agama ini akan sampai ke seluruh dunia, di mana adanya malam dan siang. Allah S.W.T tidak akan meninggalkan satu rumah pun, baik di kota mahu pun di desa kecuali Allah S.W.T akan memasukkan agama ini dengan kemuliaan atau kehinaan yang dihinakan: Kemuliaan yang dengannya Allah S.W.T memuliakan Islam dan kehinaan yang dengannya Allah S.W.T akan menghina-dinakan kekufuran.”

(Hadis Riwayat Ahmad no 16344 da al Baihaqi dalam Sunan al Kubra)

Hadis ini menyatakan satu berita gembira bahawa Islam akan masuk ke setiap rumah di muka bumi ini. Masih banyak tempat yang belum dimasuki sepenuhnya oleh Islam seperti, wilayah Eropah Barat, Amerika, Australia, Cina dan banyak wilayah di Afrika. Masuknya Islam ke setiap rumah bermaksud dalam bentuk penduduknya masuk Islam (Tunduk pada ajaran Islam) atau masih belum Islam tetapi tunduk kepada sistem Islam atau hukum Islam dengan membayar Jizyah.

Kehormatan yang Allah S.W.T berikan, Allah S.W.T berikan kepada orang-orang Islam. Kalian menerima Islam sebagai satu cara hidup, jangan malu menerima Islam, jangan malu menunjukkan keislaman kalian, malah kalian harus bangga menjadi seorang Islam. Ingat!, Islam bukan hanya untuk bangsa Arab. Kehinaan yang Allah S.W.T berikan, Allah S.W.T berikan kepada orang-orang kafir yang tidak mahu menerima agama Allah S.W.T, agama Islam.

Cuba kita lihat perjalanan umat islam, supaya kita tahu happy ending itu untuk siapa? Kita sering mendengar cerita dan mengikuti kisah mereka. Lihat terakhir siapa yang menang? Siapa yang sukses? Lihat sejarah umat Islam, kita lihat sejak awalnya kedatangan Islam, umat islam tidak kenal kata putus asa, sangat memalukan apabila di saat ini, umat Islam berputus asa:

Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya dari mereka? Dan tiada sesuatupun yang dapat melemahkan Allah baik di langit mahupun di bumi. Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

(Fatir: 44)

Seorang Mukmin mesti optimis dalam kehidupan. Fajar Islam pasti menyinsing. Lihat Rasulullah S.A.W, dikhianati, dilempar dengan pelbagai ejekkan, diusir dari kota Makkah oleh kaumnya sendiri (Rasulullah keluar dari tempat yang paling dicintai Allah S.W.T, ingat! Tempat yang paling dicintai Allah S.W.T adalah kota Makkah, Kaabah Baitullah, beliau tinggalkan dan hijrah ke Madinah). Apakah orang-orang kafir berhenti menyeksa umat Islam, setelah mereka hijrah ke Madinah? Tidak, tidak pernah selesai. Mereka tetap akan menyerang umat Islam dan terbukti sejarah mencatatkan, ketika para Sahabat Nabi hijrah ke Habasyah, keluar dari jaziah Arab, mereka berangkat ke dataran Afrika, apakah kaum Musyrikin diam, berhenti dari menyeksa umat Islam? Tidak! Malah mereka mengirim utusan untuk mengembalikan umat Islam yang telah hijrah. Dan itu terjadi, sebahagian Sahabat Nabi S.A.W yang berhijrah diseret kembali oleh keluarganya agar mereka meninggalkan agama Allah S.W.T.

Pada tahun ke 5 Hijrah, Rasulullah S.A.W didatangi oleh pasukan Musyrikin Makkah untuk mengepong kota Madinah, untuk memboikot umat Islam, untuk melenyapkan dan melemahkan umat Islam, tetapi ingat! Sebahagian umat Islam mungkin mati, tetapi umat Islam tidak akan pernah habis di muka bumi ini. Mereka datang dengan kekuatan tentera seramai 10,000 orang, dengan teknologi mereka, dengan kekuatan ekonomi mereka. Allah menceritakan hal ini di dalam surah al-ahzab ayat 9 hingga 11 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera (Al Ahzab), lalu Kami kirimkan kepada mereka angin ribut (Yang kencang dan udara dingin) dan tentara (Dari malaikat) yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah S.W.T Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

“(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu (Kerana gempar dan bingung) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan (Kerana cemas dan takut) dan kamu menyangka terhadap Allah S.W.T dengan bermacam-macam sangkaan.

“Di saat itulah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”

Gambaran kerja kaum Muslimin di sekitar menggali parit, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al Barra’ RA dengan katanya:

“…aku melihat Baginda Rasulullah S.A.W memunggah pasir sehingga tertutup kulit perut baginda S.A.W. Aku melihat perut Baginda penuh dengan debu-debu.”

Lihatlah Rasulullah S.A.W sendiri telah bersama-sama berhempas pulas memerah tenaga dengan para Sahabat dan seluruh kaum Muslimin. Badan Baginda diseliputi tanah dan debu sehingga tidak ada beza Baginda dan para Sahabatnya. Mereka sanggup berdahaga dan berlapar bersama. Inilah hakikat kehidupan menegakkan syariat Islam, melaksanakan prinsip persamaan di antara pemimpin dan dipimpin.

Rasulullah S.A.W, Baginda sanggup mengikat batu-batu ke perutnya bagi menahan pedih perut kerana terlalu lapar. Inilah gambaran peribadi Rasulullah yang mampu bersabar demi rasa tanggungjawab risalah dan amanah Allah S.W.T.

Bagaimana kita sekarang? Hidup dengan pakaian yang bersih tanpa debu. Mereka optimis dan tidak pernah putus asa malah berjanji dengan Rasulullah, akan terus berjihad dan susah senang bersama Rasulullah S.A.W sehingga akhir hayat mereka.

“Dan diriwayatkan dari Anas R.A bahawa kaun Ansor dan Muhajirin bertaruh dengan masa mereka menggali kubu dengan memikul tanah-tanah dengan kata mereka, “Kami dengan Muhammad bersumpah setia kekal dengan Islam dan perjuangan sepanjang usia” Rasulullah S.A.W menjawab pertaruhan mereka dengan sabdanya, “Ya Allah S.W.T, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan Akhirat, oleh itu berkatilah kaum Ansor dan Muhajirin.””

“Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam Hadis Shahihnya dari Jabir R.A telah berkata, “…kemudian Baginda terus bangun sedangkan perut Baginda diikat dengan menahan lapar, ‘tiga (3) hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan’ Rasulullah S.A.W mengambil pemecah batu lalu dicangkulnya batu menjadi hancur. Kemudian aku berkata, “Ya Rasulullah, izinkan aku untuk aku pulang ke rumah, dan di rumah, aku berkata kepada isteriku, “Aku lihat Rasulullah S.A.W sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak? Jawabnya, “Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina.” Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali, kemudian memasak kambing di dalam periuk… aku berkata kepada Rasulullah, “Saya ada sedikit makanan, ayuh Rasulullah S.A.W dengan seorang dua lagi” Kemudian Rasulullah S.A.W bertanya, “Banyak mana makanan itu? Aku pun ceritakan kepada Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W berkata: “Itu banyak, lagi baik, katakan kepada isterimu, jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba.’ Kemudian Rasullullah berseru pada sekalian Muhajirin dan Ansor yang menggali parit, “Ayuh bangun dari tempat kamu” Di tengah jalan pula Rasulullah S.A,W melaung, “Wahai penggali-gali kubu, Jabir telah menghidang makanan. Ayuh kesemua kamu.” Bila Jabir masuk ke dalam rumah, lalu berkata kepada isterinya, “Rasulullah S.A.W telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansor dan orang-orang lain.” Bertanya isterinya, “Adakah Rasulullah S.A.W telah bertanyakan mengenai makanan itu?” Jawab Jabir, Ya! Jawab isteri Jabir, “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui.”

“Kemudian datanglah Rasulullah dan berkata,”Ayuh masuk dan jangan teragak-agak.” Rasulullah S.A.W mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti, masih bertambah bila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan banyak bakinya lagi. Rasulullah S.A.W berkata kepada isteri Jabir, “Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan.” (Dalam riwayat lain pula kata Jabir), “Aku bersumpah demi Allah S.W.T, mereka telah memakan masakanku sehingga kesemua mereka kenyang dan beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepong kami masih boleh dibuat roti lagi,””

Allah S.W.T sahaja yang menjadikan segala faktor dan sebab, Maka sesuatu yang mudah bagi Allah S.W.T menjadikan makanan yang sedikit tadi menjadi banyak dan memberkatkan yang sedikit hingga mencukupi seluruh kaum. Inilah mukjizat luar biasa dalam kisah ini. Kisah ini membuka mata kita bahawa pertolongan Allah S.W.T itu datang bersama hebatnya peribadi Rasulullah S.A.W. Jadi kita mesti optimis bahawa pertolongan Allah S.W.T itu akan datang dan akan memberikan kemenangan kepada umat Islam, bila kita mengikut akhlaknya Rasulullah S.A.W. Nabi S.A.W tidak mengutamakan diri dan membiarkan dirinya dipengaruhi oleh faktor kekuasaan dan pangkat atau kedudukan. Baginda bukan sekadar memberi arahan, sedangkan diri bersenang-senang dengan kemewahan di rumah agam dan memerhatikan dari jauh kemajuan pekerjaan. Hanya akan turun padang, untuk membuat perasmian sambil memegang cangkul, mencangkul sekali tanda memulakan kerja. Waspada sahabat! Allah S.W.T mengatakan dalam firman-Nya di surah Al Qasas ayat 83 yang bermaksud:

“…Happy ending (Kesudahan yang baik) hanya untuk orang-orang yang bertakwa” 

Allah S.W.T akan memenangkan agama-Nya. Hal ini terbukti Rasullullah S.A.W kembali ke kota Makkah dan menaklukkan kota Makkah, setelah 8 tahun berhijrah di Madinah. Janji Allah S.W.T itu pasti. Masih ingat? Penduduk Thaif, yang melempari Rasulullah S.A.W, dengan batu sehingga beliau terluka, terseksa dan sedih sekali. Dalam kondisi beliau telah diusir dari Makkah, pergi ke Thaif dengan harapan diterima di Thaif tetapi ternyata diusir oleh penduduk Thaif. Dalam perjalanan pulang dari Thaif, Datang tawaran dari Malaikat Gunung untuk menghancurkan penduduk Makkah dan Thaif dengan menimpakan gunung kepada mereka tetapi Nabi S.A.W menolak tawaran itu. Nabi S.A.W tetap berharap. (jadi kita mesti terus berharap dan jangan pernah berputus asa). Nabi cinta penduduk Thaif, Nabi berdoa agar mereka mendapat hidayah, berdoa untuk orang-orang yang pernah menyeksanya, Nabi bersabda yang bermaksud:

“Supaya Allah mengeluarkan dari tulang-tulang sulbi mereka, orang-orang yang menyembah Allah S.W.T, mentauhidkan Allah S.W.T dan tidak berbuat kesyirikan sedikit pun.”

Yakinlah, musuh-musuh Islam melukai dan merancang bermacam-macam kejahatan ke atas umat Islam di seluruh dunia, tetapi tidak akan pernah menghapuskan atau menghilangkan umat Islam di dunia ini, kerana Allah S.W.T mengatakan yang bermaksud:

“Akhirnya kehidupan yang baik itu (happy ending) hanya untuk orang-orang yang bertakwa.” 

Ujian yang datang menyerang umat Islam, kesusahan yang menimpa umat Islam, kesulitan yang membuat mereka tidak bebas bergerak ke mana-mana, ditindas, diseksa contohnya di Rohingya, di Palestina, di Syria, di Yaman, di Urghur China dan di mana-mana sahaja, semuanya itu Allah S.W.T mengatakan dalam firman-Nya di surah Al Ankabut ayat 10 hingga 11 yang bermaksud:

Bahawa sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman dan orang-orang yang munafik dengan cara Allah S.W.T akan menguji manusia dengan kesempitan dan kesenangan agar Dia dapat membezakan di antara mereka yang banar-benar Islam, iaitu beriman dan mereka yang pura-pura Islam, iaitu munafik.”

Bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah S.W.T”, maka apabila ia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah S.W.T, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah S.W.T. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah besertamu”. Bukankah Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?”

“Dan sesungguhnya Allah S.W.T benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman: dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik.”

Di masa yang lalu, masjid-masjid dipenuhi oleh orang-orang tua yang sudah tidak berdaya dan tidak mampu kedepan lagi di tengah-tengah masyarakat, menyebarkan dakwah dan menyumbang manfaat dalam masyarakat. Tetapi sekarang kita lihat, dunia sudah berubah. Anak-anak muda sudah mula memenuhi ruang masjid.

Inilah yang ditakutkan oleh musuh-musuh Islam, bahaya! Runtuhnya zaman jahiliyyah pada zaman Nabi Muhammad S.A.W hasil sokongan pemuda yang menyahut seruan dakwah Baginda S.A.W. Kejayaan ini dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah. Ketika Nabi dilantik menjadi Rasul, umur Nabi 40 tahun. 

Nabi mencetak generasi awal di rumah Arqam bin Abi Arqam di kalangan generasi muda seperti Abu Bakar berusia 38 tahun, Saidina Umar memeluk Islam ketika berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16 tahun. Begitulah juga nama-nama besar Sahabat Nabi seperti Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yassir, Khabab bin Arats dan Usamah bin Zaid, yang di usia 20 tahun telah diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam bersama Sahabat yang dewasa.

Sudah berlalu zaman pelarangan pemakaian menutup aurat atau bertudung di sekolah-sekolah atau universiti-universiti, di mana-mana sahaja pusat membeli belah, mana-mana pejabat kerajaan dan swasta. Happy ending itu buat umat Islam, buat orang-orang yang bertakwa tetapi kita kena bersabar dan optimis. Dulu mungkin tidak ada doktor yang hafal Quran, sekarang ramai, bahkan pusat pendidikan tinggi telah memberikan peluang besar bagi orang-orang yang hafiz Quran di jadikan doktor-doktor yang akan memberikan cahaya, bukan sahaja untuk tubuh yang sakit tetapi jiwa-jiwa yang sakit juga. Maka kita mesti optimis, fajar Islam pasti akan menyinsing dan menerangi dunia. Aamiin.

Perancangan jahat yang pelbagai yang telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap umat Islam, mereka tidak akan pernah menyentuh atau menghilangkan agama dan keimanan umat Islam, yang hilang pasti diganti.

Dalam surah Taubah ayat 32 dan 33 yang bermaksud:

“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah S.W.T dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah S.W.T tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang Musyrikin tidak menyukai.”

Allah S.W.T menceritakan, musuh Islam ingin mematikan cahaya agama Allah S.W.T bermula dengan pertentangan bersenjata (Mereka tidak berjaya menghapuskan umat Islam), dengan serangan pemikiran dan ideologi (Sedikit sebanyak dapat memerangkap umat Islam yang berselindung di balik pelbagai wadah), dengan menggunakan pelbagai saluran kebajikan atau dana bantuan, dengan lisan mereka, dengan media mereka, dengan media sosial mereka. Tujuan mereka untuk menghancurkan dan mematikan Islam ke akar umbinya. Tetapi Allah S.W.T akan menyempurnakan cahaya-Nya. Semuanya akan merasakan keindahan Islam dan rahmatnya Islam, walaupun orang-orang kafir membenci hal itu. Yang penting, jangan sampai musibah kita menimpa agama kita, kita perlu bersungguh-sungguh mujahadah menjaga agama kita. Banyakkan berdoa dan meletakkan pergantungan kepada Allah S.W.T. Seperti doa Nabi S.A.W di bawah yang bermaksud:

Nabi S.A.W bersabda dalam doanya, ”(Ya Allah), Jangan Engkau jadikan musibah yang menimpa kami dalam urusan agama kami…”

(Hadis Riwayat At Tirmizi)

Kalau musibah yang menimpa tubuh kita, harta kita, rumah kita kenderaan kita, kita mudah nampak, mudah merawatnya dan mudah kita menanganinya, tetapi kalau musibah menimpa hati atau jiwa kita, Allahuakbar. Ianya boleh menyebabkan kehilangan agama dan berkurangnya kualiti iman, menyebabkan keyakinan yang sesat, menyebabkan lalai melaksanakan kewajiban, menyebabkan malas dalam melaksanakan ketaatan, menyebabkan melakukan hal-hal yang haram dan menyebabkan penguasaan orang-orang kafir dan munafik ke atas umat Islam. Jadi teruslah berdoa dan menjauhi kejahilan atau kebodohan.

Allah S.W.T berjanji dan Allah S.W.T tidak pernah ingkar janjinya. Di bawah ini, ada beberapa janji-janji Allah S.W.T, moga dengan mengetahuinya akan menjadikan iman kita bertambah:

  1. Surah ar Rum ayat 47:

“Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum kamu beberapa orang Rasul kepada kaumnya, mereka datang kepadanya dengan membawa keterangan-keterangan (yang cukup), lalu Kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang berdosa (Jahat). Dan Kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman.”

Prasyarat mendapat pertolongan Allah S.W.T, mesti beriman. Dan Allah S.W.T berjanji akan memberikan kepimpinan kepada sesiapa yang seperti dalam ayat di bawah:

2. Surah Sajdah ayat 24:

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.”

Kesabaran para Sahabat 13 tahun di Makkah, lima tahun di Madinah, Allah S.W.T jadikan mereka pemimpin-pemimpin. Mereka yakin, optimis bahawa apa yang Allah S.W.T janjikan adalah benar. Allah S.W.T berjanji akan memberikan kekuasaan bagi umah Islam, seperti dalam ayat di bawah:

3. Surah An Nur ayat 55

“Dan Allah S.W.T telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Allah S.W.T akan mengantikan rasa takut mereka dengan rasa aman. Ketika mereka merasa takut di Makkah, Allah S,W.T gantikan rasa aman kepada mereka ketika mereka hijrah. Dan setiap kita ingin hidup di tempat yang aman, yang penuh dengan kedamaian dan rakyat merasakan keadilan. Allah S.W.T akan berikan rasa aman ini dengan syaratnya, mereka mesti beribadah kepada-Nya dan tidak melakukan kesyirikan sedikit pun. Jadi itulah tanggungjawab kita, kita hendaklah memperbaiki diri. 

4. Surah Muhammad ayat 7:

“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah S.W.T, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Menolong Allah S.W.T (Jaga Allah) bermaksud, menegakkan agama-Nya, menjalankan hukum-Nya, rumah-rumah dan tempat tinggal kalian dijadikan tempat tinggal yang Islamik dan tempat kerja kalian tempat kerja yang diredhai Allah S.W.T. Di mana pun kalian berada, kalian jagalah Allah S.W.T. Allah S.W.T telah beritahu dalam kitab-Nya, Allah S.W.T akan bantu kalian. Allah S.W.T akan tolong kalian. Jadi kalau mahu meminta tolong, minta tolonglah kepada Allah S.W.T, tetapi kalian harus memenuhi apa yang Allah S.W.T inginkan dari kalian.

Melihat keadaan saudara-saudara seIslam kita yang ditindas seperti di Rohing, di Gaza, di Syria dan lain-lain, apa yang harus kita lakukan? Jaga Allah! Apakah kita sudah membaiki diri dan menjadi Muslim sejati? Belum sempurna! Cuma yang adanya setengah Islam, satu pertiga Islam. Kenapa jadi begitu? Sedangkan Allah S.W.T sudah katakan dalam firman-Nya, di surah al Baqarah ayat 208 yang bermaksud: 

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan (Kaffah), dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Dan Rasulullah SAW sendiri telah berpesan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W bersabda, “Ketahuilah bahawasanya kemenangan (Pertolongan Allah) itu bersama kesabaran (Tidak tergesa-gesa), dan jalan keluar itu bersama kesulitan, dan bahawasanya bersama kesulitan itu kemudahan”.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Lihat Nabi Musa A.S, bagaimana Allah S.W.T menolong Nabi Musa. Adakah Nabi Musa bersama bani Israel memberontak kepada Firaun? Tidak. Mereka sabar yang akhirnya, Allah berikan jalan keluar kepada mereka, seperti Hadis di bawah yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W bersabda, “Ketahuilah kemenangan itu bersama kesabaran, dan jalan keluar itu bersama kesulitan, dan bahawasanya bersama kesulitan itu kemudahan.””

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi umat Islam ketika ada kesulitan, mesti optimis bahawa sedikit masa lagi akan datang kemudahan. Jadi syaratnya kita kena bersabar. Al Hasan Al Basri mengatakan bahawa ketika turunnya surah Alam Nasyrah ayat 5 hingga 6. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Khabarkanlah bahawa akan datang pada kalian kemudahan, Kerana satu kesulitan tidak mungkin mengalahkan dua kemudahan..”

Maknanya, kesulitan itu hanya satu, tetapi Allah memberikan dua kemudahan. Kemudahan itu akan sentiasa mengikuti kesulitan. Jika kesempitan itu terasa semakin sulit dan semakin berat, maka jangan berputus asa tetapi ingatlah pertolongan Allah S.W.T itu dekat, gantungkanlah hati kepada Allah S.W.T semata-mata, maka sikap yang wajib kita miliki ketika itu adalah bersabar dan terus bersabar menanti adanya kelapangan atau kemudahan.

5. Apa yang perlu kita lakukan? Bersabar dan bertaqwa kepada Allah S.W.T:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”

(al A’raf: 96)

Kita mesti bertakwa sebab takwa itu kunci syurga. Syurga itu disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Happy ending untuk kehidupan di dunia, hanya untuk orang-orang yang bertakwa. 

Saad bin Abi Waqqash, Panglima perang pasukan Islam melawan tentera Persia di Qadissyah (Peperangan terbesar dalam sejarah dunia, dan kemenangan bagi pasukan Islam), dia melewati markas umat Islam di malam hari. Dia melihat sebahagian mereka sedang solat, Solat malam dalam posisi perang. Apa kata Saat bin Abi Waqqas:

“Dari sini (Menunjuk kepada tentera yang sedang solat) kemenangan datang” dan ketika melewati orang yang sedang nyenyak tidur, “Dari sini (menunjuk kepada mereka yang tidur) kekalahan itu menimpa kita.” 

Jadi kita tidak boleh malas beribadah, jangan pernah menyatakan cukup sekadar melaksanakan yang fardhu, sedangkan pintu-pintu kebaikan itu mengamalkan yang sunnah. Untuk mengundang rahmat dan berkat-Nya, kita perlu dekat dengan Allah. Setiap kita memerlukan ilmu yang akan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ilmu jugalah yang akan memberi kemantapan kepada kita atas Islam yang kita yakini, sehingga tanpa ragu-ragu kita akan menjadikan Islam sebagai jalan hidup dan jalan mati kita. Ingat! Yang menolong kita, Allah. Bukan jumlah kita. Kalau hendak dinilai di segi jumlah, selalunya jumlah kita lebih sedikit dari jumlah musuh tetapi Allah S.W.T masih memenangkan umat Islam. Ketentuan Allah S.W.T tidak berubah, Allah S.W.T sudah menentukan akhir yang baik itu, untuk orang-orang yang bertakwa:

“Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

(al-Qasas: 83)

Allah S.W.T menceritakan mengenai Nabi Musa bersama Bani Israel, cerita mengenai Bani Israel bersama Firaun, yang mereka hidup puluhan tahun bersamanya, bayangkanlah betapa jahatnya fir’aun, bayi-bayi lelaki yang baru lahir disembelih kerana kepercayaannya satu hari nanti kerajaannya akan dihancurkan oleh orang dari kaum Bani Israel. Nabi Musa berkata kepada kaumnya yang bermaksud: 

“Kalian minta tolonglah kepada Allah S.W.T dan bersabar.” 

Jadi bagi sesiapa yang mempunyai masalah, minta tolonglah kepada Allah S.W.T dan kuncinya bersabar. Bumi ini milik Allah S.W.T. Semuanya akan hancur, diratakan nanti. Allah S.W.T akan mewariskan bumi ini kepada sesiapa yang Allah S.W.T kehendaki. Silih berganti, yang pada akhirnya nanti, happy ending bagi orang-orang yang bertakwa. 

Apa kata kaumnya Nabi Musa, menjawab peringatannya: 

“Musa, sebelum kamu datang dan sesudah kamu datang, kami masih diseksa, ditindas dan disakiti.” 

Dan ada di kalangan Bani Israel yang berpandangan, kedatangan Nabi Musa memperburukkan lagi keadaan mereka. Sebahagian dari mereka menyatakan bahawa mereka bertawakal kepada Allah S.W.T dan berdoa untuk diselamatkan dari orang-orang kafir, mereka masih beriman walaupun takut bahawa Fir’aun dan pemuka-pemukanya akan menyeksa mereka. Mereka seakan-akan mahu mengatakan kepada Nabi Musa: “Bila datangnya happy ending untuk orang-orang yang bertakwa?” Dengan pelbagai penindasan Fir’aun dan pelbagai azab yang Tuhan turunkan di bumi Mesir, Nabi Musa dipersalahkan oleh kaumnya. Nabi Musa dituduh tidak membantu apapun bahkan menambahkan beban berat ke atas mereka. Lalu Nabi Musa menguatkan mental kaumnya dan dia tidak pernah menyerah untuk menyemangati kaumnya. Nabi Musa mengadu kepada Allah S.W.T kerana Bani Israel tidak menaruh kepercayaan kepadanya. Tetapi akhirnya, Allah S.W.T selamatkan mereka dari kejahatan Fir’aun dan pemuka-pemukanya setelah berbagai-bagai keadaan yang mereka tempuhi.

Itu kisah Nabi Musa A.S, bagaimana dengan Nabi Nuh A.S? Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun. Akan tetapi dalam waktu masa yang lama itu, Nabi Nuh tidak berhasil menyedarkan dan menarik kaumnya untuk mengikuti dan menerima dakwahnya untuk beriman, bertauhid dan beribadah kepada Allah kecuali sejumlah yang tidak sampai seratus orang, walaupun Baginda telah melakukan tugasnya dengan penuh kesabaran dan kesulitan menghadapi penghinaan, ejekkan, makian dan cercaan kaumnya. Seolah-olah sinar iman dan takwa tidak akan menembus ke dalam hati mereka yang telah tertutup rapat oleh ajaran dan bisikkan Iblis. Berat sungguh Nabi Nuh menghadapi kaumnya yang sangat bodoh dan keras hati. Akhirnya Allah S.W.T mengatakan kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam surah Hud ayat 49:

“Itu adalah di antara berita-berita penting mengenai yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Maka itulah yang perlu kita lakukan iaitu bersabar, bertakwa kepada Allah S.W.T, menjalankan kehidupan beragama dan terus optimis. Musuh mahu berbuat apa sahaja, silakan.

Marilah didik diri masing-masing agar tercipta manusia-manusia Muslim. Marilah didik keluarga kita agar terwujud rumah tangga Muslim, dan marilah kita didik masyarakat kita agar menjadi masyarakat Muslim. Daripada masyarakat Muslim inilah akan tercipta pemerintahan Muslim. Marilah berjalan dengan langkah yang pasti untuk menuju kesempurnaan dan cita-cita. Kita pasti akan sampai ke pantai harapan atas izin Allah S.W.T. Untuk itu, siapkanlah iman yang tidak pernah goyang, karya yang tidak pernah terhenti, keyakinan kepada Allah S.W.T yang tidak pernah surut dan siapkan pula jiwa yang puncak kebahagiaannya adalah ketika menjadi syahid di jalan Allah S.W.T.

Kesimpulan

Semoga kita semakin yakin dengan janji-janji Allah S.W.T tetapi janji Allah S.W.T menuntut kita memenuhi janji kita kepada-Nya, kerana sebab-sebabnya sudah jelas. Kalau kalian ingin berjaya, kalian harus memulakan langkah pertama, kedua, ketiga dan terus melangkah. Jarak yang jauhnya seribu meter di mulai dengan satu langkah pertama. Islam happy ending, harapan setiap orang beriman. Semoga setiap umat Islam rela menerima Islam sebagai agama yang benar dan agar akhir perjalanan hidup, mati dalam keadaan Islam.

Barakallahu fi kum. Wallahu ‘aklam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -