Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan? (Siri 7)

- Advertisement -

PASTIKAN anda memahami syarat yang telah dinyatakan dalam Siri 1 sebelum menyambung membaca tulisan ini.

YB-YB PAS, wajib zuhud atau kelihatan zuhud


“YB, jangang pakai keta Mercedes, biarlah buruk pong. Keta lain, baru ke lama, dakpe. Asal jangang Mercedes jer”.Begitulah antara nasihat orang yang faham dengan keadaan setempat. Saya melihat ia terjadi kepada dua orang YB PAS ketika itu. Seorang memakai Mercedes yang agak lama setelah menjadi YB kerana keretanya yang dahulu jenama Mazda yang sangat dhaif. Diconteng budak-budak pintu Mazdanya, mungkin kerana difikir kereta buangan. Kami ketawa sahaja melihat Mazda hijaunya itu.

Nasib beliau kurang baik. Ia segera menjadi buah mulut orang. Orang Terengganu (saya tak pasti di negeri lain) mempunyai fikiran tipikal. Pakai Mercedes, mesti dia banyak duit. Agak lama bualan itu berterusan dan sedikit sebanyak menjadi tekanan. Manakala seorang lagi YB yang agak berada dari mula, juga mahu membeli sebuah Mercedes, tetapi menerima nasihat supaya membatalkan hasratnya. Lalu dia membeli Honda CRV baharu. Diam sahaja orang kerana bukan Mercedes. Honda tak mengapa, biarpun baharu.

- Advertisement -

Masalah yang sukar diatasi ialah definisi zuhud itu sendiri. Telah melekat dalam kepala hampir semua orang waktu itu, zuhud mesti berpakaian compang camping, miskin, berselipar, serabai, pakaian dari kualiti yang rendah, duit tidak boleh banyak, kereta mesti buruk. Yang padahal maksud sebenar zuhud ialah, dunia yang ada di tangannya, tidak melekat dalam jiwanya. Walau berpangkat, kaya, mahal, kualiti tinggi, cantik, itu semua tidak menyebabkan si pemiliknya lalai dari mengingati Allah, itulah zuhud.

Sepertinya semua YB-YB PAS ini, tidak boleh ada nafsu terhadap perkara dunia. Dalam surah Aali Imran ayat 14, telah dinyatakan bahawa Allah menghiaskan manusia ini dengan perasaan sukakan kepada wanita, anak lelaki, kuda-kuda bertanda, emas, perak, binatang ternak. Maka semua itu adalah perasaan biasa seorang manusia. Jika Rasulullah yang mulia juga mempunyai kesukaan terhadap dunia seperti wanita, wangian, apa salahnya manusia biasa seperti YB-YB PAS memiliki perasaan itu?

Terkadang ahli PAS yang agak keras, apabila melihat seorang YB, mereka mahukan beberapa sifat sahabat menjelma dalam sebatang tubuh YB itu. Bila mereka meminta duit derma atau bantuan, mereka mahukan YB menjadi sekaya Abdul Rahman al-Auf. Pada ketika yang lain, apabila melihat YB agak selesa dengan kereta baharu atau rumah yang agak besar, segera mereka memaksa YB PAS menjadi Abu Dzar pula yang miskin dan hanya menyimpan wang tidak lebih dari tiga hari. Tapi dia, dia hanya mengkritik, tanpa memahami.

Kebetulan tidak beberapa lama setelah menang di Terengganu, Kerajaan Terengganu telah bersetuju membeli Mercedes sebagai kereta rasmi Exco-exco. Dan dua kali kebetulan, elaun wakil rakyat juga dinaikkan. Semua itu berlaku sebelum sempat Umno melaksanakannya, dengan keadaan elaun yang sudah lama tidak dinaikkan. Bising lagi orang ramai. YB-YB tak boleh naik gaji, tapi bila minta, macam-macam dia orang nak.

YB-YB PAS juga mesti berkeupayaan menjadi seperti The Avengers. Boleh berada di banyak tempat dalam satu masa. Semua mendambakan YB hadir dalam majlis mereka. Terkadang YB-YB juga terpaksa menghadapi mulut-mulut ‘laser’ yang agak lancang, tanpa tapisan di majlis orang ramai. Itu perkara biasa berlaku. Pernah dengar YB PAS disimbah dengan air ikan? Ya, ia pernah terjadi ketika itu.

Seorang YB memasang kipas angin di garaj keretanya, menjadi buah mulut orang kerana membazir. Siapa yang nak duduk situ? Tanya mereka. Seorang pimpinan PAS, hadir ke majlis santai dengan memakai seluar Jeans, juga menjadi bualan orang ramai. Sehinggakan saya yang tinggal di Perlis ketika itu, turut ditanya kenapa sampai begitu kritikan orang Terengganu kepada pimpinan PAS berseluar Jeans. Tambah lagi, dia bukanlah seorang ustaz. Saya mahu jawab apa? Diam sajalah, sambil tersenyum kelat.

Ada satu ketika, aduan dibuat oleh seorang ahli PAS kepada Presiden dalam satu pertemuan bahawa seorang YB tidak kelihatan menziarahi rakyat, tidak buat itu dan ini. Akhirnya dijawab oleh Presiden, kalau mahukan YB sentiasa datang ke rumah, lain kali pilihlah benggali jual roti. Pagi dia datang, petang nantipun dia datang. Diam terus si pengadu. Akhirnya dia masuk PAN. Bukan, saya tidak bercakap cerita-cerita ini semua berlaku ke atas YB-YB yang ada sekarang.

Hal ini berlaku 1999-2004 kepada Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang, almarhum Ustaz Harun Taib, Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah, Ustaz Wan Hassan, almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, almarhum Ustaz Awang Dagang, Dato’ Yahaya Ali, Dato’ Mustafa Ali, almarhum Tun Salleh Abbas, Haji Wahid Endut, Dato’ Wan Mutalib dan semua yang anda semua sekarang gelarkan otai politik atau murabbi itu. 

Ketika anda tidak hidup sezaman dengan mereka, anda kasih dan sayangkan mereka. Tetapi ahli PAS yang bersama dengan mereka ketika itu, ada yang melakukan semua ini. Anda mungkin berkata mengapakah murabbi kami diperlakukan begitu. Saya hanya boleh tersenyum kerana belum tentu anda tidak melakukannya jika hidup sezaman dengan mereka, apa lagi bila mendengar fitnah sebegitu.

Saya kadang-kadang terfikir, apa agaknya yang berlaku, jika orang-orang ini hidup di zaman para Sahabat apabila melihat Zubair al-Awwam yang meninggalkan jutaan wang selepas beliau meninggal. Abu Hurairah juga seorang yang berharta, walaupun dahulunya beliau adalah ahli Suffah. Atau ketika mereka hidup di zaman Imam Mujtahid seperti Imam Malik yang ada mempunyai kuda-kuda yang bagus sebagai kenderaannya. Barangkali Sahabat dan imam-imam juga tidak terselamat daripada dimarahi atau dalam bahasa lembut ‘dinasihati’ mereka.

Antara perkara lain yang benar dalam agama, tetapi tidak difahami orang ramai terjadi sewaktu itu ialah pembahagian zakat kepada pelajar-pelajar. Termasuk yang menerimanya ialah anak Exco. Riuh rendah dituduh bahawa penyelewengan zakat telah berlaku. Zakat difahami mereka ialah kepada orang miskin sahaja. Sampaikan juga sesetengah mereka kata anak yatim dan janda juga asnaf. Itu faham mereka. Sedangkan pelajar agama juga adalah asnaf zakat. Tidak semestinya kaya atau miskin.

Fitnah tersebar dan akhirnya, tiada juga tindakan diambil apabila mereka memerintah semula. Pegawai-pegawai lantikan politik juga seperti Unit Bina Insan, turut terkena tempias apabila mereka menerima komputer riba sebagai alat untuk mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Komputer riba pada tahun 2000 adalah barangan yang mahal. Ia semua dibolehkan bagi tujuan berdakwah bagi memberikan kefahaman agama kepada rakyat. Diugut mereka selepas menang untuk mengambil tindakan atas tuduhan mengambil harta kerajaan jika tidak dipulangkan.

Begitulah keadaan ketika itu. Tanpa penggunaan media sosial yang meluas, mulut pun cukup bagi digunakan untuk membawa berita fitnah. Keadaan semakin panas apabila orang PAS sendiri yang memulakan atau menyambung cerita ini. Pernah saya duduk di kedai kopi, walaupun sudah lama PAS kalah, seorang ahli PAS masih mengungkit-ngungkit yang mengikut beliau sebagai kegagalan seorang YB PAS menjalankan tugasannya. ‘Aku, kalu naik lagi nama dia jadi calong, tobak aku dok pakoh doh’. Itulah ikrarnya.

Penat tak jadi YB PAS, melayan karenah manusia? Sabar, ada lagi ceritanya. Bersambung…

MOHD NASIR ABDULLAH
26 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 26/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -