Indonesia, Thailand wajar pertimbang iktiraf sijil vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN khususnya yang bersempadan dengan Malaysia sewajarnya mempertimbangkan pengiktirafan sijil vaksin negara masing-masing bagi mempercepat pertumbuhan aktiviti ekonomi bagi kedua-dua negara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, ianya berikutan kesepakatan yang telah dicapai antara Malaysia-Singapura di dalam mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 yang dibangunkan di negara masing-masing untuk memudahkan perjalanan merentas sempadan pada masa depan.

“Sememangnya sijil pengesahan vaksin yang telah dikeluarkan sudah sewajarnya menerima pengiktirafan daripada mana-mana negara di dunia ini.

- Advertisement -

“Negara-negara ASEAN khususnya Singapura dan Thailand perlulah memurnikan usaha ini bagi memudahkan pergerakan kedua-dua rakyat untuk merancakkan lagi ekonomi, yang mana kita tahu ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura,” ujarnya.

Beliau mengulas demikian kepada HarakahDaily hari ini ketika ditanya mengenai usaha Malaysia-Singapura memberikan komitmen terhadap pengiktirafan sijil vaksinasi.

Sehubungan itu katanya, bagi merealisasikan usaha murni itu sudah pasti pelbagai cabaran yang akan dihadapi oleh negara.

Tambah beliau, antaranya kemungkinan wujud pemalsuan dokumen vaksinasi yang akan menyukarkan proses verifikasi individu tersebut.

“Oleh itu, agensi-agensi yang berkaitan perlu menetapkan peraturan yang ketat agar mematuhi kriteria keselamatan sebelum mengeluarkan sijil pengiktirafan vaksin berkenaan,” jelasnya.

Pada Selalu lalu, Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dalam satu kenyataan bersama mengulangi komitmen untuk saling mengiktiraf sijil vaksin Covid-19 bertujuan memudahkan perjalanan rentas sempadan.

Kedua-dua negara juga akan terus memperluaskan program vaksinasi kebangsaan masing-masing untuk memberi vaksin kepada pemastautin termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura dan warga republik itu yang tinggal di negara ini. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -