Kalimah Allah dalam Kristian bawa tiga maksud

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Penggunaan kalimah Allah bukan sahaja dibimbangi mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam, malah ia boleh disalah guna musuh untuk memburukkan Islam.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertepatan dengan suasana sekarang.

Katanya Islam dilingkungi pelbagai musuh termasuk dalam kalangan bukan Islam di mana ada yang menentang secara terang dan secara halus.

“Maka saya lebih tertarik supaya tidak dibenarkan penggunaan kalimah Allah kerana dibimbangi ia akan membawa maksud yang tidak tepat,” katanya ketika di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) hari ini.

- Advertisement -

Pada 10 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan 15 Mac lepas.

Tuan Guru Hashim berkata, terdapat perbezaan pendapat di antara ulama terdahulu mengenai penggunaan kalimah Allah.

“Antara ulama yang menolak pengunaan kalimah tersebut termasuk Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din kerana belum bersedia membenarkan golongan bukan Islam menggunakan kalimah itu.

“Manakala terdapat segelintir ulama yang lain pula membenarkan jika ia tidak melibatkan persoalan akidah,” ujarnya.

Malah kata beliau penggunaan kalimah Allah mempunyai pengertian yang khusus tidak seperti yang dimaksudkan oleh agama lain.

“Dalam Kristian contohnya, kalimah Allah membawa kepada tiga maksud iaitu Allah, Al Masih dan Ruhul Qudus, maka jika difahami secara demikian penggunaan kalimah Allah bercanggah dengan akidah umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -