RM1 juta bantuan awal pelajar berjaya ke IPT

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan memperuntukkan RM1 juta sebagai bantuan awal kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kadar RM300 setiap seorang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program itu dilaksanakan melalui inisiatif Kedah Produktif dan Kedah Digital dengan membangunkan sistem permohonan bantuan awal kemasukan ke IPT.

Katanya program tersebut dikenali i-BAKIPT dengan peruntukan RM1 juta.

“Sistem tersebut dilaksanakan bagi memudahkan anak-anak Kedah membuat permohonan bantuan secara atas talian di mana sahaja mereka berada.

- Advertisement -

“Mereka tidak perlu hadir hadir ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini,” katanya ketika merasmikan i-BAKIPT Bagi Sesi Pengajian 2021 di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya juga pembayaran akan dibuat Pusat Khidmat Dun dan Penyelaras Dun kepada pelajar terbabit.

Oleh itu beliau berharap anak-anak Kedah yang berkelayakan dan memenuhi syarat membuat permohonan di laman sesawang sppnk.kedah.gov.my dengan memuat naik dokumen sokongan yang disahkan.

Manakala dalam perkembangan lain kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) melancar Skim Pinjaman Mikro Kredit Sejahtera Covid-19 Negeri Kedah bagi membantu usahawan yang terjejas pandemik Covid-19.

Kata Menteri Besar sebanyak 393 permohonan dengan nilai sebanyak RM1.96 juta dilulus dan akan dikreditkan melalui akaun pemohon bermula 25 Mac ini secara berperingkat.

“Kerajaan negeri bersetuju melonggarkan beberapa syarat pinjaman bagi memudahkan usahawan memohon skim pinjaman,” katanya pada majlis penyerahan ‘mock cheque’ Skim Pinjaman Mikro Kredit Sejahtera Covid-19. (Foto atas)

Beliau turut mengingatkan peminjam supaya membayar balik pinjaman dan tindakan undang-undang boleh diambil UPUK sekiranya peminjam gagal membuat bayaran. – UPDA

- Advertisement -