Apakah ramuan untuk capai kemenangan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Apakah ramuan untuk mencapai kemenangan?

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau ditanya soalan itu dalam Sesi Libat Urus bersama Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan itu dengan menyoroti sejarah kedatangan Islam di Melaka melalui pedagang dan saudagar Muslim.

- Advertisement -

“Mereka bukan ahli pidato yang berapi, tetapi mereka mendirikan solat dan berniaga dengan akhlak Islam.

“Mereka tunjukkan integriti dan akhlak yang tinggi. Itulah ramuan pertama,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Beliau menjelaskan, ramuan kedua pula ialah jangan berpecah dan menyelesaikan masalah dengan semangat persaudaraan Islam dan bersatu padu.

“Bagaimana mahu bina kekuatan syakhsiah yang tinggi? Kena berjemaah dan beruzlah,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, berjemaah dengan menghadirkan diri ke usrah, mesyuarat dan kegiatan jemaah.

“Jangan bergerak seorang diri, mesti berjemaah kerana kita ada kelemahan dan untuk melindungi diri daripada bisikan syaitan yang sentiasa menghasut kepada kejahatan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau menambah, beruzlah dengan bertahajjud dan mendekatkan diri kepada Tuhan sehingga cabaran dunia dianggap kecil sahaja.

“Bukan beruzlah selama-lamanya sehingga putus dengan jemaah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -