Manfaat peruntukan pusat pulih ekonomi setempat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan turut menerima peruntukan bagi melaksanakan projek-projek kecil bagi pemulihan ekonomi setempat di peringkat komuniti.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan sebanyak RM20 juta akan diagih kerajaan pusat kepada semua negeri termasuk Kelantan.

Katanya, peruntukan berkenaan akan dimanfaat bagi membela nasib rakyat.

- Advertisement -

“Pada masa yang sama kita juga berhasrat membina infrustruktur di samping kemudahan lain bagi kepentingan rakyat,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Turut menerima suntikan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Baru-baru ini Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan pusat akan menyalurkan sebanyak RM260 juta kepada semua kerajaan negeri.

Menurutnya peruntukan sebanyak RM20 juta kepada setiap negeri untuk melaksanakan projek-projek kecil bagi pemulihan ekonomi setempat di peringkat akar umbi.

Oleh itu kerajaan Kelantan merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas sumbangan dana tersebut.

“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas keprihatinan tersebut, insyaAllah kita salurkan peruntukkan itu untuk kepentingan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -