Perak teroka sistem perladangan digital

- Advertisement -

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) beralih kepada sistem perladangan digital dan sistematik bagi memudahkan pengurusan ladang.

Ia juga mampu mempercepatkan pihak pengurusan mengenal pasti serta fokus terhadap kawasan ladang yang bermasalah terutamanya kelapa sawit.

Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, PPPNP memperkenalkan penggunaan Internet of Thing (IOT) dalam sektor perladangan menerusi Bengkel Perladangan Digital 1.0 PPPNP.

- Advertisement -

Katanya langkah itu ke arah perladangan moden dan digital dengan memperkenalkan applikasi-aplikasi dan teknologi yang dapat meningkatkan kecekapan pengurusan ladang.

“Aplikasi yang diperkenalkan termasuk My Maps, 3D Mapper dan Google Earth. Mengambil kira harga sawit sekarang begitu tinggi amat wajar bengkel dan kursus-kursus seperti ini diadakan.

“Ia bertujuan menambah baik produktiviti dan keberkesanan ladang dalam pengurusan hasil,” katanya program penutup bengkel tersebut di sini semalam.

Perladangan digital juga dapat mengurangkan kos dan masa serta memperoleh ‘real time data’ yang dapat meningkatkan kecekapan pengurusan ladang.

Beliau juga berkata, peningkatan hasil berdasarkan penggunaan IOT bakal memberi manfaat kepada peladang di Perak.

“Peningkatan hasil PPPNP membolehkan rakyat Perak mendapat manfaat daripada program-program yang dilaksanakan seperi Ladang Untuk Rakyat dan Ladang Rakyat.

“PPPNP mampu meningkatkan pendapatan dan hasil ladang sawit dengan memastikan dividen dan sumbangan PPPNP kepada kerajaan negeri dan rakyat dapat dipertingkatkan,” ujarnya.

Turut hadir Pengurus Besar Operasi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Noorasidi Mohamed Noordin.

Bengkel tersebut disertai 45 peladang dari seluruh Perak. Peserta diberi penerangan asas melaksanakan operasi perladangan PPPNP ke arah teknologi perladangan moden dan sistematik. – Stratcom

- Advertisement -