Insiden SUKE: Bertindak segera sebelum berulang kembali

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden kemalangan kelmarin yang melibatkan kren gantri tumbang dan jatuh di tapak pembinaan projek SUKE di Alam Damai, Kuala Lumpur. Kami berharap agar pampasan sewajarnya dapat diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Insiden yang berlaku ini merupakan kali kedua pada tahun ini yang melibatkan orang awam selepas kejadian pertama pada 3 Mac 2021 di kawasan pembinaan SUKE berhampiran Desa Tun Razak. Insiden berulang ini menimbulkan rasa kegelisahan dan kebimbangan kepada para pengguna jalan raya yang terpaksa melalui kawasan pembinaan berbahaya pada setiap hari.

- Advertisement -

Rakyat berhak tahu apakah langkah segera kerajaan dalam menangani masalah ini kerana mereka diiibaratkan bersabung nyawa tatkala melalui jalan yang penuh dengan besi cerucuk, konkrit dan jentera berat? Tidak ada gunanya kita menunggu sehingga nasi menjadi bubur, barulah tindakan tegas hendak diambil.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak berautoriti yang terlibat seperti CIDB, JKKP, POLIS, BEM, JKR, melakukan siasatan penuh daripada segenap aspek melibatkan pihak pengurusan projek dan pekerja, struktur rekaan binaan, dan SOP kerja bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini berlaku.

Audit penuh dan terperinci juga mesti dijalankan agar dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kualiti bahan dan rekaan, dan SOP kerja di kesemua jajaran pembinaan Lebuhraya SUKE ini benar-benar dipatuhi oleh syarikat pemaju.

DPPWP mengesyorkan supaya pihak yang bertanggungjawab menyediakan pelan lencongan jalan yang selamat kepada pengguna serta waktu operasi berisiko tinggi tidak dilaksanakan ketika waktu puncak bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain. Pihak berkuasa juga perlu sentiasa membuat pemantauan secara berterusan terhadap projek berskala besar agar dapat mengurangkan risiko kemalangan daripada berlaku.

Kami juga menggesa agar pihak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang terbukti cuai dan menjadi punca kepada insiden yang telah meragut nyawa pekerja tapak dan pengguna jalan raya. Mereka perlu dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran agar kejadian sebegini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

MOHAMMAD RASHIDI ABDUL RAZAK
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -