Dinding parapet projek SUKE jatuh disiasat JKKP

- Advertisement -

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) ingin menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa kes kemalangan melibatkan dinding parapet yang jatuh dari struktur binaan lebuh raya dan menghempap kereta mangsa di Tapak Projek SUKE, Pakej CA2, pada kira-kira 5.45 petang semalam. Mangsa yang merupakan seorang pemandu perempuan Warganegara Malaysia telah mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

- Advertisement -

Sehubungan dengan itu, Kementerian telah mengarahkan sepasukan penyiasat daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan & Putrajaya untuk menjalankan siasatan komprehensif bagi mengenalpasti punca kejadian serta menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan 1994. JKKP WP Kuala Lumpur & Putrajaya telah mengeluarkan arahan serta merta untuk menghentikan sebarang aktiviti kerja pemasangan dinding parapet tersebut bagi tujuan siasatan.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan.

Selain itu, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuklah klien, pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja bermula daripada peringkat rekabentuk projek pembinaan.

Kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan. Kementerian menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Negara ini termasuk di dalam sektor pembinaan.

YB AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Merangkap Pengerusi MNKKP
20 September 2020 – HARAKAHDAILY 20/9/2020

- Advertisement -