Kedah adakan majlis khas rai kejayaan Zii Jia

Aksi Sanusi bersama Zii Jia dalam satu permainan badminton. Gambar fail.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan majlis khas bagi meraikan kejayaan jaguh perseorangan lelaki badminton negara Lee Zii Jia merangkul kejuaraan All England.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata ia sebagai menghargai pencapaian pemain berusia 22 tahun itu yang telah mengharumkan nama Malaysia selain Kedah, negeri kelahirannya.

“Kerajaan negeri merakamkan jutaan tahniah kepada beliau dan terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia dan Kedah.

“Saya sebagai anak Kedah dan ketua kerajaan negeri Kedah, kami semua di Kedah berbangga dan tumpang gembira atas kejayaan beliau,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kejayaan Zii Jia itu, di sini hari ini.

- Advertisement -

Pada aksi final di Utilia Arena Birmingham semalam, Zii Jia menamatkan penantian Malaysia selama empat tahun untuk meraih gelaran juara kejohanan badminton All England selepas menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22 dan 21-9.

Muhammad Sanusi berkata sebelum ini beliau juga telah menyembah maklum kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengenai pencapaian Zii Jia ketika pemain itu berjaya mara ke peringkat akhir kejohanan tersebut.

“Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah (Sultanah Maliha Tengku Ariff) sangat gembira dengan pencapaian beliau. Tuanku sendiri menonton perlawanan tersebut (perlawanan akhir) yang penuh debaran di televisyen semalam,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata Zii Jia yang juga pemain nombor 10 dunia sememangnya layak memenangi gelaran All England kerana telah berusaha keras untuk mencapai tahap pemain profesional bertaraf dunia.

Muhammad Sanusi juga yakin dengan disiplin dan semangat juang tinggi yang dimiliki, pemain itu mampu pergi lebih jauh dan merangkul banyak lagi gelaran.

“Saya lihat sokongan keluarga beliau juga antara faktor yang mendorong kejayaan beliau. Pada saya, orang Kedah adalah pejuang yang berjuang sehingga mencapai kejayaan. Tahniah Zii Jia, anda kebanggaan kami,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -