Daftar sukarelawan JKM segera – Siti Zailah

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Rakyat Melaka digesa mendaftar sebagai sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mereka melapor dan mendaftarkan orang-orang susah kepada JKM.

- Advertisement -

Tindakan ini akan membantu orang-orang susah dan memerlukan mendapat bantuan dari JKM secara bulanan memandangkan mengikut laporan yang diterima JKM, terdapat kira-kira 10 ribu orang susah di negeri Melaka yang masih belum dibantu.

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dalam satu sesi ‘townhall‘ yang berlangsung di Kompleks Japerun Taboh Naning, Alor Gajah di sini, semalam.

Dalam ucapan pembukaannya itu, beliau turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu perseorangan supaya tampil membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dengan menghulurkan maklumat mereka kepada JKM.

“Peranan NGO sebagai mata dan telinga JKM. Ada macam-macam kategori (yang) ada. Yang tak dapat bantuan.

“Bantulah dengan pergi ke rumah golongan yang memerlukan. Tolong dia dalam urusan hariannya atau bantu belikan barang keperluan,” ujar beliau.

Menjawab soalan peserta mengenai talian aduan pula, Siti Zailah memaklumkan bahawa kementeriannya telah berusaha mempermudahkan segala aduan dengan menyediakan perkhidmatan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam sehari dan bebas tol.

Talian ini, menurutnya, menerima segala bentuk aduan seperti permohonan bantuan, kaunseling ataupun sekiranya berlaku apa-apa kejadian keganasan, penderaan dan sebagainya.

Menurut Siti Zailah lagi, pegawai yang mengendalikan talian ini boleh dihubungi melalui nombor sms 15999 dan applikasi WhatsApp di nombor 019-2615999.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang menjelaskan bahawa segala aduan akan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Pegawai Pelindung JKM, PDRM dan Lembaga Kaunselor Negara untuk diambil tindakan segera.

“Kita berhubung rapat dengan semua agensi berkenaan dan mempunyai lebih daripada 784 orang kaunselor berdaftar di seluruh negara,” ujarnya di dalam sesi interaksi.

Antara perkara lain yang didialogkan adalah mengenai geran-geran yang disediakan kepada NGO, bantuan khas latihan sukarelawan muda, kursus untuk remaja, kursus keibubapaan dan masalah keruntuhan moral kesan daripada laman sesawang Sugarbook.

Di dalam ucapan penutup sesi ‘townhall’ itu semalam, Siti Zailah menasihati perwakilan NGO supaya memberi perkhidmatan yang terbaik dan menghulur tenaga semasa bencana di pusat pemindahan banjir.

Beliau juga menyarankan NGO agar tampil memberi bantuan kepakaran seperti rawatan medik serta tangani isu jenayah dengan memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan menjaga sesama jiran tetangga dan membuang sikap ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ supaya kejadian kematian mangsa dera tidak berulang.

Majlis turut dihadiri Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Wira Latipah Omar didahului dengan penerangan mengenai perkhidmatan Jabatan Pembangunan Wanita oleh Pegawai Tadbir JKM Melaka, Noraisyah Md Syukor.

Turut memberi penerangan adalah Timbalan Pengarah JKM Melaka, Shahani Shabudin dan Pegawai Penerangan LPPKN, Zakri Rihan mengenai perkhidmatan JKM dan LPPKN.

Sebanyak 13 buah NGO dan pemimpin tempatan telah menghantar perwakilan bagi mengikuti program townhall ini.

Turut hadir di dalam program townhall ini ialah Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad, Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin dan ahli-ahli jawatankuasa beberapa buah NGO negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 20/3/2021

- Advertisement -