Jangan terpengaruh hasutan pihak tertentu

- Advertisement -

LIMBANG: Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) melakukan pelbagai usaha bagi membantu rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Hasbi Habibollah berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat yang berdepan dengan kesukaran akibat pandemik.

“Janganlah kita terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu. Mungkin juga ada bantuan yang belum sampai kepada mereka yang layak disebabkan kaedah penyampaiannya,” katanya ketika merasmikan Program Malaysia Prihatin di Dewan Kampung Bunga Raya semalam.

- Advertisement -

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan wakil Pegawai Daerah Limbang Muhammad Firhan Iskandar Goh.

Penganjuran Program Malaysia Prihatin buat julung kali diadakan di peringkat kementerian Kerajaan Persekutuan di Sarawak.

Hasbi berkata, Program Malaysia Prihatin diadakan bertujuan memberitahu rakyat tentang Proklamasi Darurat yang berkaitan dengan Covid-19.

Menurutnya juga Perkara 150 Perlembagaan Malaysia membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat jika sesuatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam terjejas.

Kerajaan mengisytiharkan Proklamasi Dararat bermula 11 Januari lepas sehingga 1 Ogos hadapan bagi membantu kerajaan menghadapi ancaman kesihatan berikutan penularan Covid-19.

Hasbi turut berharap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memaklumkan kepada pihak berkaitan sekiranya masih terdapat penduduk yang layak belum menerima bantuan.

“Tindakan segera perlu diambil supaya tidak menimbulkan kemarahan rakyat dan akhirnya kerajaan yang akan disalahkan,” ujarnya. – Edisi UKAS

- Advertisement -