Depani cabaran perjuangan dengan bijaksana

Mengulas tuduhan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah

- Advertisement -

USAHA menyatukan kuasa politik umat Melayu Islam agar bermuafakat dan bersatu dalam memimpin ummah dan negara terus diperkasakan. Inisiatif murni ini pasti berhadapan pelbagai cabaran dan ujian lantas ia harus didepani dengan penuh hikmah dan bijaksana. Kita tidak mahu melihat umat Melayu Islam tersisih dan merana di tanah airnya sendiri sebagaimana berlaku sebelum ini.

Tatkala ini sepatutnya semua pimpinan Melayu Islam dalam semua parti bersama merintis jalan penyatuan ini. Biar tonggak kuasa berada di tangan kita dan tidak jatuh ke tangan yang lain. Kita memegang aqidah yang sama lalu jadikanlah ia tali dan pencetus yang mengikat dan melonjakkan kesungguhan kita demi kebaikan ummah.

Dalam kerancakkan usaha murni ini ramai yang terkejut dan kecewa apabila seorang pemimpin politik Melayu veteran terbit dengan kenyataan yang cukup menghina dan dilihat menongkah arus menentang usaha penyatuan ini.

- Advertisement -

Baru-baru ini veteran Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang sejak 47 tahun lalu Tengku Razaleigh Hamzah telah mengeluarkan kenyataan melabel PAS sebagai ‘pelacur politik’. 

Menurut beliau:

“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau Umno sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru. PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” 

Tambahnya: “Umno perlu menentang PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang kerana parti Islam itu tidak boleh dipercayai lagi.”

Orang PAS sudah pasti marah dan kecewa dengan kenyataan Ku Li ini, malah saya yakin rakan-rakan dari Umno terutama di peringkat akar umbi yang telah sedia menjalin hubungan akrab dengan PAS di peringkat masing-masing juga tersinggung. Siapakah yang boleh menerima penghinaan dan fitnah seumpama ini?

Menurut Naib Presiden PAS Senator Ustaz Idris Ahmad sebagai seorang veteran Umno, Ku Li sepatutnya menjadi pendamai bukannya pemanas. Sepatutnya Ku Li menjadi seorang yang mencurahkan air, bukan mencurahkan ‘petrol’ yang membakar dalam kerjasama dua parti Melayu dan agenda perpaduan ummah ini. Mengapa Ku Li tiba-tiba bertindak demikian?

Mengapa mempertikaikan sokongan PAS, kononnya PAS tidak mengundi BN di Tanjong Piai dan Semenyih, benarkah begitu? Ketika PRK DUN Semenyih saya merupakan Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor dan saya berani menyatakan kenyataan Ku Li itu tidak benar sama-sekali.

Apa yang mendorong Ku Li melabel PAS begitu? Memang PAS dalam sejarahnya banyak menjalin hubungan dan kerjasama dengan pelbagai parti politik. Di awal-awal kemerdekaan PAS menjalin hubungan dengan Parti Negara pimpinan Allahyarham Dato Onn Jaafar. Kemudiannya pernah juga dengan Ku Li sendiri yang memimpin Semangat 46 selepas meninggalkan Umno, pernah juga dengan PKR dan DAP dan kini dengan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, segala jalinan kerjasama PAS ini adalah dengan matlamat menjayakan cita-cita perjuangan Islamnya bukan untuk kepentingan atau agenda peribadi, meraih kekayaan dan seumpamanya. PAS meletakkan matlamat perjuangannya sebagai keutamaan yang fundamental, tiada tolak ansur dan tidak boleh dijual beli.

Adakah tindakan sebegitu menjadikan PAS pelacur politik sebagaimana dituduh Ku Li itu? Ku Li bukannya tidak mengenali PAS. Ku Li sendiri mengambil keputusan menjalin hubungan dengan PAS semasa beliau melarikan diri dari Umno dahulu. Membina ‘Angkatan Perpaduan Ummah’ iaitu gabungan antara parti-parti Melayu Islam yang terdiri dari Semangat 46, PAS, BERJASA dan HAMIM dengan bersetuju antaranya meletakkan ‘Islam sebagai Addeen’ di dalam tuntutan perjuangannya.

Tetapi bila Semangat 46 kalah berturut-turut PRU 1990 – 1995, Ku Li memilih untuk membubarkan Semangat 46 bagi kembali ke riba Umno dan meninggalkan kerjasama dengan PAS, siapakah yang tidak boleh dipercayai dan menyerupai ‘pelacur politik’ sebenarnya? Tetapi PAS tidak pernah melabel Ku Li begitu.

Ramai penganalisa dan pemerhati politik menulis sebelum ini berkenaan cita-cita Ku Li untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau pernah mencuba dalam Umno kerana itu beliau pernah mencabar Tun Dr Mahathir sebagai Presiden Umno tetapi kalah, pernah mencuba apabila menubuhkan Semangat 46 tetapi kalah juga dan malah di usia 80-an tahun ini pun ada yang masih percaya yang Ku Li cuba menonjolkan dirinya sebagai PM alternatif.

Ketika Datuk Seri Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong bulan Oktober 2020 lalu kononnya kerana memiliki sokongan cukup bagi menjatuhkan Kerajaan PN, Ku Li juga dilihat keluar-masuk istana. Dan apabila Bajet 2021 mahu diluluskan di Parlimen bukankah Ku Li telah mengadakan sidang akhbar dengan musuh politiknya suatu ketika dulu, Tun Dr Mahathir meminta supaya Ahli-ahli Parlimen menolak bajet berkenaan? Jika PAS dituduh ‘pelacur politik’ Ku Li apa pula?

Apa pun saya yakin orang PAS dan Umno kenal sangat Ku Li. Biarlah beliau dengan ilusinya sebagaimana mimpi Anwar mahu menjadi PM. Ku Li tetap kita hormati sebagai seorang veteran. Perpaduan Ummah yang mahu dibina dan diperkasakan oleh PAS dan Umno serta parti-parti lain yang berkongsi kesedaran yang sama akan diteruskan tanpa siapa berupaya menghalangnya termasuklah Ku Li. Ianya bukan perjuangan peribadi, bukan perjuangan buat mana-mana individu tetapi ia perjuangan keramat untuk melonjakkan maruah dan martabat ummah.

Rakyat jelata khususnya umat Melayu Islam sedang menanti-nantikan permuafakatan politik ini yang boleh memberikan keyakinan dan jaminan kepada nasib dan masa depan mereka. PRU14 lalu telah mengajar mereka betapa ruginya jika umat Melayu Islam berpecah. Lantas jika parti-parti politik Melayu Islam tidak bangkit menjulang perjuangan ini pada siapakah lagi mahu diharapkan?

NOTA: YBM Tengku Razaleigh Hamzah cukup mengenali ayah saya. Semasa ayah saya Pegawai Kanan Polis di Kelantan tahun 1960-an dahulu beliau terlibat dalam meyakinkan Ku Li agar menyertai Umno. Kami sekeluarga cukup menghormati Ku Li. Cukup kecewa juga apabila Ku Li tiba-tiba tergamak melabel PAS sebegini. Semoga Ku Li menarik balik label ini dan bersama perjuangan membina penyatuan dan permuafakatan ummah. Jadilah pemimpin Melayu veteran yang terbilang.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -