PUTRAJAYA: Individu yang telah lengkap pengambilan dos vaksin akan diberi MY COVID-19 Vaccination Badge sebagai bukti ia telah menerima vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech semalam selepas menerima suntikan pertama pada 24 Februari lepas, akan menjadi individu pertama menerima lencana itu.
Dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di sini semalam, Dr Adham berkata lencana itu berbentuk kad segi empat tepat dan dilengkapi dengan kod keselamatan.
“KKM (Kementerian Kesihatan) akan mengeluarkan bukan sahaja sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera tetapi kita juga keluarkan lencana yang menandakan siapa yang dapat dos kedua atau sudah selesai vaksinasi. Ini untuk mengesahkan individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
Dr Adham berkata semalam adalah hari ke-21 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan seramai 346,508 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 atau kira-kira 69.3 peratus daripada jumlah sasaran keseluruhan penerima vaksin fasa pertama iaitu 500,000 orang.
“Pencapaian ini adalah amat baik dan KKM yakin fasa pertama yang akan berakhir pada penghujung April depan, akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan baik,” katanya.
Menurutnya, kira-kira 5.7 juta orang telah berdaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera yang 12.6 peratus adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 19.6 peratus mempunyai komorbiditi.
Dr Adham berkata kira-kira 25.9 peratus daripada jumlah pendaftar akan diberikan vaksin pada fasa kedua program vaksinasi terbesar negara itu. – BERNAMA