PSU, PENJANA Kerjaya bantu para usahawan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bantuan kerajaan kepada usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas, bukan sahaja membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup, malah ada yang berjaya memperluaskan perniagaan.

Bagi pemilik ZES Aircond & Auto Service Wan Norhayati Tun Abu Bakar 38, bantuan kerajaan yang diterima ketika PKP itu membantunya dalam menguruskan aliran tunai dan modal kerja syarikatnya yang beroperasi di Bukit Kuang, Kemaman.

“Syarikat saya dapat dua bantuan kerajaan ketika PKP iaitu Program Subsidi Upah dan Penjana Kerjaya (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara – Program Insentif Pengambilan Pekerja).

“Jika dinilai, dua bantuan itu yang berjumlah RM44,400 sangat membantu untuk kelangsungan syarikat dan mengekalkan lapan pekerja sedia ada selain pembelian stok bagi melancarkan operasi bengkel. Semua bantuan ini umpama ‘talian hayat’ syarikat dalam mengharungi waktu sukar ketika PKP,” katanya kepada Bernama hari ini.

- Advertisement -

Syarikat yang ditubuhkan pada 2017 itu menawarkan perkhidmatan pemasangan pendingin hawa dan pendawaian elektrik, penyelenggaraan penyaman udara serta baik pulih kereta termasuk lori dan jentera berat.

Syarikat juga bukan sekadar mampu mengekalkan lapan pekerjanya melalui Program Subsidi Upah ketika PKP, malah berupaya menambah empat lagi kakitangan untuk melancarkan operasi syarikat.

Wan Norhayati berkata kemasukan empat pekerja baharu pada minggu depan itu berikutan syarikatnya mempunyai banyak tempahan pelanggan membabitkan kerja baik pulih di bengkel mahupun kerja pendawaian di premis kediaman dan komersial.

“Memang perniagaan terjejas sehingga 30 peratus ketika PKP yang lalu kerana kerja-kerja penyelenggaraan pendingin hawa sama ada di rumah pelanggan, pejabat dan premis komersial tidak boleh dilakukan. Bagi bengkel kenderaan pula, kami terpaksa gilirkan jadual pekerja dan ikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. 

“Namun, keadaan bertambah baik ketika ini dan berharap langkah kami menambah pekerja baharu akan terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan syarikat,” katanya yang turut menerima manfaat hasil Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp dan Program Peningkatan & Pembangunan Standard Perniagaan (BASE) di bawah MARA.

Bagi pemilik Nabz Food Industri Sdn Bhd, Noraini Zakaria pula bantuan kerajaan yang diterima ketika PKP dapat membantunya menjaga kebajikan lima pekerja syarikat itu.

“Jualan produk (pau sejuk beku dan sedia dimakan) merosot lebih 50 peratus kerana sebelum berlakunya pandemik COVID-19, syarikat banyak bergantung kepada permintaan dari asrama sekolah dan program yang dianjurkan kerajaan, di pasar raya dan ekspo.

“Mujurlah ada Program Subsidi Upah, itu yang membantu syarikat membayar gaji pekerja sepanjang tiga bulan kami menutup operasi kilang di Bukit Tunggal, Kuala Nerus. Namun, kami tidak berpeluk tubuh sahaja, sebaliknya kami beralih kepada jualan kek lapis Sarawak untuk menampung kerugian akibat tidak dapat berniaga seperti biasa,” katanya.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2002 itu mengeluarkan pelbagai pau berinti kacang, kaya, coklat, ayam dan sardin dan produk syarikat telah berjaya menembusi pasaran di Agro Bazar, pasar raya Xiri, pasar tani dan trak makanan di beberapa lokasi di sekitar Terengganu.

Pembukaan semula sekolah baru-baru ini juga melegakan Noraini kerana permintaan dari pengusaha kantin dan asrama kembali meningkat dan perkembangan terbaharu itu meyakinkannya untuk mencapai sasaran jualan RM300,000 pada tahun ini. – BERNAMA

- Advertisement -