Vaksinasi: Anwar wajar bercakap ikut bukti sains

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dibuat Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan vaksinasi sepatutnya tidak diucapkan oleh seorang tokoh politik yang berpengalaman.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Anwar berhubung vaksinasi ketika sidang media, semalam.

“Dua dos vaksinasi yang diamalkan adalah berdasarkan kepada rekomendasi sains akan keberkesanannya dan bukan atas dasar suka-suka mengikut kehendak pesakit atau ahli politik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perjalanan proses vaksinasi yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan pula didapati sangat teratur dan licin.

- Advertisement -

Jelasnya lagi, semua kaedah untuk memastikan keselamatan penerimaan telah diambil kira sesuai dengan logistik terkini yang mudah dan boleh digunakan oleh kementerian dan anggota sokongan di seluruh negara.

Anwar yang menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam dilaporkan berkata, apakah tidak boleh mereka yang telah ambil suntikan pertama tunggu dahulu sebelum ambil suntikan kedua.

Habiskan suntikan pertama kepada rakyat terlebih dahulu, katanya.

Justeru, kata Mohd Mazri, PAS merasakan sebagai tokoh politik yang berpengalaman, sewajarnya Anwar tidak mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam.

Sebaliknya, ujar beliau, Ahli Parlimen Port Dickson itu sewajarnya bercakap mengikut bukti sains dan membantu pihak Kementerian Kesihatan dengan memberi maklumat yang betul kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -