Kecerdasan asas

- Advertisement -

SETIAP orang dilahir dengan kecerdasan asas tertentu. Setiap orang tidak sama. Ada yang petah berkata sejak kecil. Ada yang kuat berlari, ada pula pandai melukis. Adakala kita tahu kecerdasan asas kita. Adakalanya kita menghabiskan seumur hidup memahaminya. 

Mereka yang bekerja di dalam ruang lingkup kecerdasan asas mereka selalunya berjaya dan bahagia. Mereka yang masih tercari-cari mungkin lebih sukar hidupnya.

Rolf Dobelli dalam bukunya ‘The Arf of a Good Life’ menggelarnya ‘Circle of Competence’. Quran mengatakan ‘ahli’ dalam sesuatu sehingga disuruh bertanya kepada ahlinya jika tidak tahu. Saya menggelarnya kecerdasan asas.

- Advertisement -

Mencebur diri dalam sesuatu yang bukan di dalam kecerdasan asas kita, akan membuat kita rasa terpaksa dan cepat putus asa. Seorang peguam tertekan dengan kerjanya kerana dia bukan sahaja tidak petah berkata, bahkan menggemari bidang masakan pula.

Seorang doktor tertekan dengan jadual ‘on call’-nya kerana dia juga sentiasa mual mengubati pesakit yang pelbagai, walhal minatnya adalah mengubahsuai motosikal. Untunglah mereka yang bekerja dalam ruang lingkup kecerdasan asas mereka. 

Seorang peminat scuba diving menjadi instructor PADI.
Seorang pemain bola bermain di kelab profesional.
Seorang pelukis membuka bisnes percetakan dan rekaan grafik.
Seorang peminat motosikal menjadi dealer motosikal.
Seorang peminat ekonomi menjadi peniaga saham.

Memahami kecerdasan asas anda adalah perjuangan. Ia perlukan fokus. Mengentalkan diri untuk kekal dalam bidang kecerdasan asas anda pula adalah perjuangan yang berbeza. Ia tidak mudah. Semoga anda berjaya menjumpai kecerdasan asas anda. Yang dianugerah Tuhan kepada setiap hamba-Nya. Untuk melayari bahtera dunia dengan selesa.

YUSFARIZAL YUSSOFF
Pengerusi ADVOCS – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -